
KUALA LUMPUR – Pendakwah selebriti, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz mencadangkan supaya orang awam di Malaysia tidak lagi dibenarkan memelihara anjing, terutama di kawasan bandar.
Cadangan tersebut disuarakan menerusi satu hantaran di Threads ketika isu keselamatan melibatkan anjing liar kembali menjadi perhatian ramai.
“Kalau tak keberatan, orang awam di Malaysia tak boleh dah pelihara anjing,” katanya.
Menurut Haris, terdapat batas tertentu dalam Islam berkaitan pemeliharaan haiwan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan anjing masih diperlukan bagi tujuan tertentu, termasuk untuk menjaga kebun.
Pada masa sama, Haris mengakui kurang selesa dengan kehadiran anjing, termasuk anjing yang dipelihara oleh jiran serta anjing liar yang berkeliaran.
Kenyataan tersebut muncul susulan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah selepas diserang lima ekor anjing di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat pada 5 September lalu.
Susulan kejadian itu, kerajaan Johor melancarkan operasi besar-besaran bagi menangkap anjing liar di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, cadangan yang dikemukakan PU Riz itu merupakan pandangan peribadi dan bukan larangan rasmi terhadap pemilikan anjing di Malaysia.
Ketika ini, pemilikan anjing masih tertakluk kepada undang-undang kecil serta syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan masing-masing.
The post PU Riz cadang orang awam tidak dibenar pelihara anjing appeared first on MYBERITA.




