BN ambil langkah strategik, bukan ‘tikam belakang’ – Ahmad Maslan

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 5:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: BN ambil langkah strategik, bukan ‘tikam belakang’ – Ahmad Maslan

SEBERANG PERAI – UMNO menegaskan keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding dengan strategi tersendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bukan tindakan ‘tikam belakang’, sebaliknya langkah bagi memastikan parti itu terus mencatat kemenangan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, strategi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memastikan kelangsungan parti dalam menghadapi pilihan raya dan tidak melibatkan sebarang pelanggaran perjanjian di peringkat negeri.

“Dalam pilihan raya sudah tentu perlu menang, takkan kita nak masuk nak kalah. Istilah langkah strategik ini sebenarnya tak boleh sebut tikam belakang. Langkah strategik yang diambil untuk survival parti. Mereka juga membuat langkah strategik untuk survival parti.

“Sebagai contoh, apa yang dibuat oleh DAP (dalam kongres DAP) walaupun hanya separuh yang datang perwakilannya dan 82 peratus bersetuju berada dalam kerajaan, tetapi kalau campur semua 4,000, tak cukuplah angka 82 peratus itu. Mungkin kalah agaknya.

“Tetapi yang tak datang itu tak ada haklah untuk bersuara sebab mereka tak datang. Itu juga langkah strategik mereka, samalah seperti kita yang juga mengambil langkah strategik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Konvensyen Kontraktor 2026 di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, hari ini.

Ahmad berkata, tiada perjanjian di peringkat negeri yang mengikat BN dengan Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Itu sebab saya sebut bahawa tidak ada sebarang perjanjian di peringkat negeri Johor dan Negeri Sembilan dan Melaka. Sarawak pun saya rasa tak ada perjanjian, Sabah juga tidak ada perjanjian.

“Kalau kita tidak mengambil langkah strategik di Negeri Sembilan, BN kalah. Mana parti yang ingin kalah? Itu langkah strategik yang diambil untuk menang. Jadi pihak negeri berhak untuk memaksimumkan kemenangan dan memastikan kemenangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post BN ambil langkah strategik, bukan ‘tikam belakang’ – Ahmad Maslan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved