Public Bank, Pro-Net jalin kerjasama tawar pembiayaan EV smart Malaysia
zulfadli
14/08/2023 - 15:27
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Public Bank dan Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) memeterai memorandum kerjasama (MoC) bagi penyediaan kemudahan pembiayaan produk dan perkhidmatan kewangan lengkap dan pendigitalan melalui penyepaduan sistem dengan smart Malaysia dan penjual sahnya.
Kerjasama ini membolehkan Public Bank memudahkan pendigitalan melalui permohonan pembiayaan akhir sewa beli dan pembiayaan penstokan lantai (floor stocking) secara dalam talian dengan aplikasi pelanggan smart dan penjual sahnya, sekali gus memperbaiki bahagian pasaran dalam industri automotif kenderaan elektrik (EV).
Pro-Net ialah pengimport dan pengedar eksklusif yang sah bagi kenderaan smart di Malaysia dan Thailand. Perjanjian strategik ini dijangka akan meningkatkan jualan EV inovatif baharu syarikat tersebut.
Tawaran permulaan untuk pasaran Malaysia ialah smart #1, kenderaan pemenang anugerah dan muncul buat pertama kalinya baru-baru ini di Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) 2023 di Pusat Konvensyen Setia City.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata, menyokong pertumbuhan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) sentiasa menjadi tunjang utama agenda pemeliharaan iklim pihaknya.
Katanya, bank telah memperuntukkan lebih daripada RM30 bilion dalam pembiayaan NEV domestik pada akhir 2022, yang mewakili kira-kira 52% daripada jumlah keseluruhan portfolio pembiayaan Sewa Beli Bank.
"Untuk membuktikan komitmen bank, sasaran pemberian pinjaman untuk NEV kini ditingkatkan kepada RM33 bilion menjelang 2025.

"Terdapat peluang yang mendorong Public Bank dan Pro-Net untuk memulakan kerjasama dari awal. Kerjasama ini bukan sahaja bermanfaat untuk kami bagi mencapai objektif perniagaan masing-masing, malah turut menyumbang kepada usaha bersama kami untuk menangani perubahan iklim," katanya dalam kenyataan media di sini.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Datuk Chang Kat Kiam, Ahli Lembaga Pengarah Pro-Net, Roslan Abdullah dan Wang Huaibing dan Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang.
Sementara itu, Roslan pula berkata, melalui kerjasama dengan Public Bank, matlamat pihaknya adalah untuk mempercepatkan proses pembelian, menyediakan kemudahan dan membentuk semula pengalaman digital pelanggan.

Katanya, Pro-Net dan smart mengutamakan inovasi dan kepentingan pelanggan serta komited untuk terus menawarkan rumusan premium dan bersama-sama mencorak masa hadapan yang lebih baik untuk para pelanggannya yang dihargai.
"Sebagai jenama EV pertama yang bekerjasama dengan Public Bank, smart merupakan perintis terawal dalam transformasi persekitaran digital industri perbankan," katanya. - DagangNews.com



