Public Packages bergelut cabaran ketidaktentuan pasaran global dan tekanan inflasi

Business & Finance
17 Aug 2026 • 5:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Public Packages bergelut cabaran ketidaktentuan pasaran global dan tekanan inflasi Image from: Public Packages bergelut cabaran ketidaktentuan pasaran global dan tekanan inflasi amree17/08/2026 - 17:41 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 OgosPublic Packages Holdings Berhad kini berdepan cabaran ketidaktentuan pasaran global serta tekanan inflasi yang memberi kesan langsung kepada kos operasi syarikat berkenaan.

 

Isu bermusim serta penurunan jumlah pelancong domestik ke Pulau Pinang turut menjadi faktor yang menjejaskan prestasi bahagian perhotelan mereka sepanjang tempoh suku kedua tahun kewangan 2026.

 

Walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan sengit, syarikat berkenaan tetap optimis terhadap prospek masa depannya melalui pemantapan strategi pemasaran serta peningkatan kecekapan operasi.

 

"Langkah kawalan kos secara berterusan dijangka dapat mengekalkan momentum prestasi yang terus menggalakkan bagi tempoh akan datang," jelas Public Packages dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Prestasi kewangan kumpulan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 menunjukkan peningkatan didorong oleh permintaan pasaran yang lebih kukuh serta campuran produk yang memihak kepada kumpulan.

 

Hasil syarikat tersebut melonjak 13.88% kepada RM53.54 juta bagi tempoh tiga bulan itu, sekali gus membuktikan ketahanan model perniagaan kumpulan dalam mengharungi pasaran yang semakin kompetitif.

 

Public Packages_DagangNews2026

 

Untung bersih Public Packages turut mencatatkan lonjakan signifikan sebanyak 57.85% kepada RM10.89 juta bagi suku kedua 2026, jauh mengatasi keuntungan bersih RM6.90 juta pada suku sama tahun lepas.

 

"Bagi tempoh enam bulan pertama, syarikat berjaya mencatat pendapatan terkumpul RM102.99 juta dan untung bersih keseluruhan sepanjang tempoh berkenaan pula mencecah RM18.89 juta," tambahnya.

 

Sektor pembuatan kekal penyumbang utama apabila mencatatkan hasil RM46.76 juta bagi suku tinjauan, dengan keuntungan sebelum cukai melonjak 71.39% susulan prestasi jualan serta kawalan kos efisien.

 

Bagaimanapun, Public Packages menambah, bahagian perhotelan mengalami sedikit penurunan pendapatan kepada sebanyak RM4.52 juta ekoran kekurangan kedatangan pelancong domestik ke Pulau Pinang. 

 

Bahagian perdagangan pula jelas kumpulan tersebut, berjaya mencapai tahap pulang modal dengan mencatatkan sedikit peningkatan keuntungan berikutan daripada kos operasi yang lebih rendah.

 

"Lembaga Pengarah tidak mencadangkan sebarang pembayaran dividen namun syarikat sebelum ini telah membayar dividen interim satu peringkat sebanyak RM0.0075 sesaham pada 6 April 2026," katanya.

 

Dengan kedudukan kewangan kukuh, Public Packages akan terus fokus kepada usaha mengukuhkan kedudukan pasaran serta memastikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved