PublicInvest kekal berhati-hati terhadap prospek SLP Resources kesan kelemahan permintaan global
diyana
07/08/2023 - 11:13
KUALA LUMPUR 7 Ogos - PublicInvest kekal berhati-hati terhadap prospek SLP Resources Berhad memandangkan industri pembungkusan plastik fleksibel terus terbeban oleh kelemahan permintaan global.
Jelasnya, walaupun kos bahan mentah dan logistik telah berkurangan, lebihan bekalan dan permintaan luar yang lemah kekal berleluasa disebabkan aktiviti ekonomi global perlahan dan kekurangan pemangkin pasaran untuk merangsang pertumbuhan permintaan.
“Namun, kumpulan tersebut tetap fokus pada rangkaian produknya yang unik bagi mengekalkan bahagian pasaran dan terus mengukuhkan asas kewangannya untuk mengharungi potensi kesan cabaran ekonomi global semasa.
“Produk pembungkusan fleksibel premium kumpulan untuk ekonomi pekeliling semakin mendapat perhatian namun sumbangan daripada produk baharu ini kepada keuntungannya masih diabaikan pada ketika ini,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengulas tentang keputusan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) SLP Resources yang diumumkan pada 4 Ogos lalu, PublicInvest berkata ia di bawah anggaran tahun penuhnya dan konsensus, masing-masing menyumvang 36.1% dan 39.9%.
SLP Resources melaporkan keuntungan bersih teras RM3.5 juta pada 2QFY23, susut 7.2% tahun ke tahun (YoY), terutamanya disebabkan oleh kemerosotan hasil sebanyak 20.1% YoY disebabkan oleh permintaan yang lemah daripada pasaran tempatan dan luar negara.
Firma tersebut mengekalkan unjuran pendapatan SLP Resources memandangkan jangkaan permintaan luar akan bertambah baik secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini.
Sementara itu, PublicInvest mengekalkan saranan ‘underperform’ dengan harga sasaran (TP) 73 sen sesaham.
Pada waktu penulisan, saham SLP Resources turun 1 sen atau 1.2% kepada 86 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM272.6 juta. - DagangNews.com


