PublicInvest nilai harga wajar 99 Speed Mart pada RM1.84 sesaham
herman
26/08/2024 - 15:23
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Public Investment Bank Research (PublicInvest) memberikan nilai wajar pengendali rangkaian pasar mini terbesar di Malaysia, 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad (99 Speed Mart) pada RM1.84 sesaham.
Penilaian itu menunjukkan potensi kenaikan 11.5% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.65 sesaham 99 Speed Mart yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 9 September 2024.
Firma penyelidikan itu berkata, 99 Speed Mart dinilai dengan pendapatan sesaham tahun kewangan 2025 (FY2025) sebanyak 29 kali yang memberikan diskaun sekitar 16% berbanding purata PE industri memandangkan profil margin yang agak rendah.
"Ke hadapan, 99 Speed Mart merancang untuk mengembangkan kehadirannya di kawasan dengan kadar penembusan cawangan yang lebih rendah, terutamanya di kawasan utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia, serta di Sabah dan Sarawak.
"Kami optimis mengenai strategi Kumpulan untuk membuka sekurang-kurangnya enam pusat pengedaran (DC) baru, yang dapat memperluas jangkauan ke kawasan baru dan meningkatkan ketersediaan produk kepada pelanggan.
"Kami percaya inisiatif ini akan menyokong pertumbuhan yang berterusan dan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran 99 Speed Mart," katanya dalam nota penyelidikan.
PublicInvest berkata, melihat ke hadapan, 99 Speed Mart diunjur mencapai pertumbuhan CAGR sebanyak 15.3% dalam tempoh dua tahun, mencecah RM532.5 juta pada FY25.
"Ramalan kami berdasarkan andaian bahawa 99 Speed Mart akan membuka 250 cawangan baru setiap tahun, dengan setiap outlet mengekalkan pendapatan tahunan purata sekitar RM3.7 juta dalam FY24F-FY26.
"Trajektori pertumbuhan ini turut disokong oleh pengembangan yang dirancang untuk 99 Bulksales ke kawasan tambahan di luar kehadirannya sekarang di Lembah Klang dan selatan Semenanjung Malaysia," jelasnya.
PublicInvest dalam pada itu menyifatkan 99 Speed Mart mempunyai beberapa kekuatan persaingan dalam industrt peruncitan termasuk harga dan produk yang menarik.
Katanya, pengendali rangkaian pasar mini itu juga mempunyai strategi pemerolehan yang baik di samping pusat pengedaran di seluruh negara dan pengursan berpengalaman. - DagangNews.com



