PublicInvest nilai harga wajar DC Healthcare pada 37 sen sesaham
azan
05/07/2023 - 15:12
KUALA LUMPUR 5 Julai - Public Investment Bank (PublicInvest) menetapkan harga wajar sebanyak 37 sen terhadap DC Healthcare Holdings Berhad mewakili premium 48% daripada tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham.
Firma itu menjangkakan pakar perkhidmatan perubatan estetik itu merekodkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) dua tahun dalam keuntungan bersihnya sebanyak 53.3% kepada RM22.5 juta dengan mengandaikan kumpulan itu membuka tiga klinik baharu menjelang akhir FY23.
Kemudian diikuti lima lagi klinik pada FY24 dengan setiap cawangan menjana pendapatan sebanyak RM3.9 juta secara purata.
"Kami percaya pertumbuhan itu akan disokong oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap perkhidmatan estetik sambil memberikan hasil yang memuaskan kepada pelanggan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Penilaian firma itu terhadap DC Healthcare membayangkan diskaun 40% kepada gandaan PE hadapan indeks penjagaan kesihatan Bursa Malaysia sebanyak 26 kali.
"Kami percaya diskaun itu wajar memandangkan permodalan pasaran DC Healthcare yang agak kecil dalam sektor penjagaan kesihatan, selain sifat elektif perkhidmatan estetiknya.
“Melangkah ke hadapan, DC Healthcare merancang untuk menubuhkan lapan klinik perubatan estetik baharu dalam tempoh dua tahun akan datang, kebanyakannya menyasarkan wilayah utara dan selatan Malaysia Barat.
"Mereka berhasrat untuk kekal fokus pada perkhidmatan estetiknya denganmenambah enam pakar perubatan LCP, 16 doktor perubatan, 56 perunding klinik dan 16 kakitangan pentadbiran, dengan pembelian mesin dan peralatan perubatan baharu untuk klinik perubatan estetik sedia ada dan baharu, "katanya.
DC Healthcare menyasarkan untuk mengumpul RM49.81 juta daripada IPO yang akan melibatkan terbitan 199.26 juta saham, mewakili 20% daripada modal saham terbitannya yang diperbesarkan.
Daripada jumlah itu, RM17.01 juta akan digunakan sebagai modal kerja, manakala RM6.24 juta akan diperuntukkan untuk membayar balik pinjaman.
Sementara itu, ia akan memperuntukkan RM9.44 juta untuk memulakan lapan klinik estetik baharu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, dan Kedah, dengan RM13.12 juta untuk membeli mesin dan peralatan perubatan.
Kumpulan akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 Julai ini. - DagangNews.com



