TA Securities nilai harga sasaran MST Golf pada RM1.20, premium 48% berbanding IPO sebanyak 81 sen sesaham

Business & Finance
5 Jul 2023 • 12:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Securities nilai harga sasaran MST Golf pada RM1.20, premium 48% berbanding IPO sebanyak 81 sen sesaham

azan

05/07/2023 - 12:20

KUALA LUMPUR 5 Julai - TA Securities Research memberi harga sasaran pada RM1.20 terhadap MST Golf Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 20 Julai ini.

Harga itu adalah premium sebanyak 48.15% berbanding tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 81 sen sesaham.

Ia disokong oleh keuntungan kukuh kumpulan itu, ditambah pula dengan rancangan perniagaannya untuk meluaskan liputan dalam pasaran sedia ada dan menembusi negara serantau.

MST Golf terlibat dalam perniagaan peruncitan khusus dan pemborong peralatan golf yang terdiri daripada kayu golf, pakaian golf dan aksesori lain di Malaysia dan Singapura.

"Kami menilai kumpulan itu pada RM1.20 sesaham berdasarkan kepada PER 22x FY2024F EPS sebanyak 5.4 sen, sejajar dengan kedai khusus seperti MR DIY.

“Kami percaya ini adalah wajar oleh pertumbuhan perolehan kukuh saham sebanyak 26.7%/31.8% (yang mengatasi pertumbuhan pendapatan konsensus rakan setaranya sebanyak 21.5%/16.4%) pada FY23/FY24 dan pembayaran dividen sebanyak 30%, walaupun saham tersebut secara relatifnya mempunyai permodalan pasaran yang lebih kecil,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma itu berkata, MST Golf menyaksikan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 40% pada FY22 berbanding ROE MR DIY sebanyak 36.6%.

Memetik laporan oleh penyelidikan pasaran bebas Vital Factor Consulting, firma penyelidikan itu berkata, nilai import peralatan golf di Malaysia meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 32.4% kepada RM132.1 juta pada 2022, manakala nilai import Singapura sebanyak peralatan golf meningkat sebanyak 33.8% tahun lepas.

“Pertumbuhan import kedua-dua rantau ini disebabkan peningkatan dalam permintaan golf, kerana golf adalah sukan individu ditambah dengan peningkatan minat yang timbul daripada populariti yang semakin meningkat," katanya.

Firma itu mengunjurkan hasil dan keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM386.6 juta dan RM36.9 juta pada FY23, manakala hasil dan keuntungan bersih untuk FY24 dianggarkan sebanyak RM471.3 juta dan RM48.6 juta.

“Untuk FY25, kami menjangkakan kumpulan mencatatkan pendapatan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM60.8 juta dengan keuntungan berterusan selepas margin cukai sebanyak 10%,” katanya. - DagangNews.com