Pukul penguat kuasa: Tiga lelaki ditahan termasuk remaja 14 tahun

LocalPolitics
9 Mar 2026 • 4:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis menahan tiga lelaki termasuk remaja 14 tahun bagi membantu siasatan kes memukul anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan ketika rondaan di Pasar Batu 8. - Foto hiasan

SANDAKAN – Tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 tahun antara yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dipukul ketika melakukan rondaan di Pasar Batu 8 pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, ketiga-tiga suspek yang merupakan warga Filipina itu ditahan di beberapa lokasi berasingan pada Sabtu lalu.

“Tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh anggota penguat kuasa MPS yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Hasil maklumat berjaya mengesan suspek dan tangkapan dibuat di beberapa lokasi iaitu di Batu 8, Kampung Bariawa dan kawasan setinggan Kampung Melayu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati kesemua mereka negatif daripada pengambilan dadah.

“Namun, ketiga-tiga mereka mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Kes masih disiasat di bawah Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan kejadian seorang pegawai penguat kuasa MPS dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki ketika melakukan rondaan di kawasan pasar tersebut.

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa menegur seorang penjaja supaya tidak melakukan aktiviti menjual rokok di kawasan pasar tersebut.

Video mengenai kejadian itu turut tular di media sosial dan pihak polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.