
MELAKA – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) akan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan pelbagai pihak termasuk netizen yang berbangga dengan sikap jujur petugas kebersihan, Tengku Andy Asmawi Tengku Ahamad, 28, yang memulangkan gelang emas ‘jagung’ bernilai RM15,000 milik pengunjung.
Pengurus Besar Perzim, Erne Hamsah berkata, setakat ini pihaknya telah merancang mengadakan satu sesi penghargaan secara dalaman sebagai tanda menghargai pekerja yang mempunyai integriti tinggi.
Katanya, hasrat untuk memberi penghargaan secara rasmi kepada Tengku Andy atau mesra dengan panggilan ‘Awie’ juga telah disampaikan kepada pihak pentadbiran tertinggi Perzim, namun bentuk penghargaan berkenaan masih belum diputuskan.
“Selain itu, kita juga ada melihat cadangan dan input daripada netizen yang kagum dengan sikap Awie dan kita akan mempertimbangkan untuk merealisasikan apa yang sesuai termasuk saranan menyerapnya sebagai kakitangan Perzim.
“Namun ia tertakluk kepada kesesuaian dan peraturan yang sedang berjalan kerana ini merupakan perkara baharu yang berlaku melibatkan petugas kebersihan daripada syarikat yang dilantik,” katanya ketika ditemui di Muzium Samudera, Banda Hilir, di sini, hari ini.
Erne berkata, penghargaan berkenaan bukan sahaja sebagai tanda terima kasih kepada Tengku Andy, malah sebagai galakan kepada pekerja lain untuk terus mengamalkan sikap amanah dan jujur ketika menjalankan tugas.
Katanya, kejadian itu turut menjadi contoh positif yang mampu meningkatkan imej Perzim, selain menunjukkan sikap prihatin petugas muzium terhadap pengunjung.
“Ini satu platform yang baik untuk kita tunjukkan kepada pengunjung bahawa sekiranya berlaku kehilangan barang atau kecemasan, staf Perzim sentiasa prihatin dan akan membantu.
“Staf juga sudah tahu tanggungjawab mereka untuk mencari dan menyimpan barang yang ditemui supaya dapat dikembalikan kepada pemilik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pulangkan gelang RM15,000, Perzim pertimbang idea netizen serap Awie appeared first on Kosmo Online.



