
MELAKA – Gelang tangan emas jenis ‘jagung’ seberat 25 gram yang dianggarkan bernilai RM15,000 akhirnya kembali kepada pemiliknya selepas dituntut semula di Muzium Samudera, Banda Hilir, di sini, hari ini.
Pemilik gelang berkenaan yang enggan dikenali itu hadir kira-kira pukul 1.30 petang dari Kuala Lumpur bersama seorang rakannya bagi mengambil semula barang kemas yang dipercayai tercicir ketika mengunjungi muzium berkenaan.
Pembantu Khidmat Am Muzium Samudera, Khairuddin Muhammad Yusop berkata, urusan penyerahan semula gelang berkenaan berjalan lancar, malah pemilik turut memberikan saguhati sebagai tanda penghargaan dan berterima kasih.
“Gelang tersebut telah diserahkan kepada pemiliknya dan wanita tersebut menzahirkan rasa berterima kasih terutama kepada tukang kebun kami, Tengku Andy Asmawi Tengku Ahamad, 28, yang jujur kerana telah membantu menyimpankan gelang tersebut.
“Dia turut memberikan saguhati kepada kami berdua. Pada kami tugas kami hanya membantu pengunjung dan memastikan barang yang dijumpai disimpan dengan baik sehingga pemilik datang mengambilnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Ujarnya, pemilik terbabit memberitahu dia hanya menyedari gelangnya tercicir selepas meninggalkan lokasi dan segera menghubungi pihak muzium untuk mendapatkan bantuan mencarinya.
“Maklumat itu disampaikan dalam kumpulan WhatsApp kakitangan dan saya segera maklumkan ia telah ditemui oleh tukang kebun dan dalam simpanan saya,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan seorang tukang kebun terkejut apabila menemukan seutas gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM15,000 ketika menjalankan kerja rutin di Muzium Samudera, Banda Hilir, Ahad lalu.
Menurut Tengku Andy Asmawi Tengku Ahamad, gelang tangan emas jenis ‘jagung’ seberat 25 gram itu ditemuinya kira-kira pukul 7 pagi ketika dia menyapu kawasan pelancongan itu sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan.
Tindakan Tengku Andy sekali gus mendapat pujian ramai kerana sikap jujurnya memilih untuk memulangkan barang berharga itu meskipun mempunyai nilai yang tinggi. – KOSMO! ONLINE
The post Gelang emas ‘jagung’ RM15,000 kembali kepada pemilik appeared first on Kosmo Online.






