
MELAKA – Seorang tukang kebun berusia 28 tahun terkejut apabila menemukan seutas gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM15,000 ketika menjalankan kerja rutin di Muzium Samudera, Banda Hilir, di sini, Ahad lalu.
Menurut Tengku Andy Asmawi Tengku Ahamad, gelang tangan emas jenis ‘jagung’ seberat 25 gram itu ditemuinya kira-kira pukul 7 pagi ketika dia menyapu di kawasan pelancongan itu sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan.
“Saya sapu sampah seperti biasa, lepas itu ternampak objek macam gelang emas sebelum saya berikan kepada kakitangan muzium. Masa itu saya tak fikir barang itu mahal atau apa, yang penting tanggungjawab kerja,” katanya ketika ditemui di Muzium Samudera, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia memulangkan barang berharga itu kerana menyedari ia bukan miliknya dan mahu memastikan gelang berkenaan kembali kepada pemilik asal.
Tengku Andy yang berasal dari Kemaman, Terengganu berkata, pekerjaan sebagai tukang kebun di muzium itu baru diceburinya kira-kira dua bulan lalu selepas meninggalkan pekerjaan di Wisma Negeri Terengganu.
Katanya, dia memilih untuk bekerja di Melaka kerana mahu tinggal lebih dekat dengan isteri dan dua anaknya masing-masing berusia tiga tahun serta tiga bulan.
Sementara itu, Penolong Kurator Pengurusan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Farahwahidah Abd. Wahab, berkata, pihaknya mengetahui mengenai kehilangan gelang emas tersebut selepas dihubungi seorang pengunjung dari Kuala Lumpur.
Katanya, pengunjung berkenaan meminta bantuan pihak muzium untuk mencari gelang miliknya yang disyaki tercicir di kawasan tersebut sebelum maklumat berkenaan disampaikan dalam kumpulan WhatsApp kakitangan.
“Menerusi makluman itu, turut dimaklumkan gelang emas tersebut ditemui oleh seorang tukang kebun sebelum diserahkan kepada pihak muzium,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tukang kebun jujur pulangkan gelang emas ‘jagung’ RM15,000 appeared first on Kosmo Online.






