
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada 1 Mac lalu, kecoh mengenai insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun parah diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Dede Sungai Menghulu, Langkawi.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala, badan dan kaki itu diserang anjing sewaktu sedang bermain berhampiran rumahnya.
Perkara itu menjadi tular dan mendapat perhatian ramai pihak termasuk Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang mencadangkan agar satu pulau khas berfasiliti diwujudkan bagi menempatkan anjing berkeliaran di Langkawi.
Rancangan membawa anjing liar ke sebuah pulau khas mungkin kedengaran baik. Namun, ia boleh bertukar menjadi kisah seram bercampur sedih sekiranya haiwan-haiwan terbabit tidak mendapat penjagaan sebaiknya.
Baca Artikel Berkaitan: MP Langkawi Cadang Wujudkan Pulau Khas Untuk Anjing Berkeliaran
Lebih 300 anjing dibuang di pulau, jadi kanibal kerana terlalu lapar
Sekitar tahun 2009 dahulu, The Guardian pernah melaporkan kisah penduduk sebuah kampung di Malaysia yang telah menangkap lebih daripada 300 ekor anjing liar.
Kesemua haiwan liar itu kemudiannya dibuang di sebuah pulau kecil iaitu Pulau Tengah, Selangor.
Anjing-anjing itu dibuang begitu sahaja oleh penduduk sebuah perkampungan nelayan di Pulau Ketam tanpa makanan menyebabkan mereka bertukar menjadi kanibal selepas berminggu-minggu kelaparan.
Nasib haiwan berkenaan didedahkan selepas aktivis kebajikan haiwan berkongsi gambar-gambar yang menunjukkan anjing-anjing tersebut sedang memakan bangkai rakan mereka yang telah mati.
Tiada niat berlaku kejam, buang anjing kerana ingin bersihkan pulau mereka
Penduduk kampung terbabit mendakwa mereka tidak berniat untuk berlaku kejam kerana percaya anjing-anjing itu boleh hidup dengan hidupan liar di Pulau Tengah.
Menurut mereka, tujuan memindahkan anjing-anjing terbabit adalah untuk membersihkan pulau mereka daripada haiwan-haiwan terbabit yang membuang najis di jalanan dan terkadang menggigit kanak-kanak.
Susulan kejadian itu, satu pasukan daripada Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA) telah melawat Pulau Tengah dan melihat sendiri keadaan anjing-anjing di sana.
Usaha untuk menyelamatkan anjing-anjing tersebut agak perlahan kerana banyak yang takut kepada manusia dan melarikan diri ke dalam paya bakau apabila penyelamat menghampiri.
Para aktivis akhirnya berjaya memujuk penduduk Pulau Ketam agar tidak membuang lagi anjing-anjing liar di pulau terpencil itu.
Malah, perkara ini turut dibangkitkan dalam Mesyuarat Dewan Negeri Selangor pada 2009 menerusi ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh.
Isu yang berlaku menyebabkan kerajaan mengadakan kempen program kembiri atau pemandulan secara percuma kepada anjing-anjing liar di Pulau Ketam dan juga pada anjing yang mempunyai tuan.
Sejak dari itu juga, anjing yang ditangkap akan disimpan di Pusat Kurungan Haiwan Sementara di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang.
Selain itu anjing liar yang bermasalah seperti sakit dan tidak bersih akan disuntik oleh seorang Pegawai Veterinar sebelum dibawa untuk dilupuskan di Pusat Pelupusan Jeram.
Kisah yang berlaku ini mungkin berbeza dengan cadangan Mohd Suhaimi sekiranya pulau anjing yang ingin diwujudkan lengkap dengan pegawai atau sukarelawan selain fasiliti sempurna buat haiwan liar.
Pulau khas letak anjing liar dijadikan tempat jagaan kebajikan haiwan
Terdahulu, Mohd Suhaimi berkata pulau itu boleh dijadikan tempat jagaan kebajikan haiwan tersebut dengan menempatkan pelbagai perkhidmatan fasiliti veterinary dan menjadi satu tarikan pelancongan.
Tambahnya, masalah anjing berkeliaran telahpun dibawa ke perbahasan Parlimen sejak Mac 2023 serta sudah menggesa pencinta haiwan untuk datang ke pulau dan mengambil anjing-anjing berkenaan.
“Pihak Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) telah bertindak cermat dengan membina kandang-kandang. Anjing-anjing ini ditangkap dan dikasi tetapi tidak ditidurkan kerana bangkangan daripada pencinta haiwan.
“Pada September 2023, saya sekali lagi membawa isu ini ke dalam dewan dengan memaklumkan bahawa anjing liar ini hampir setiap minggu menggigit pelancong.
“Tetapi laporan kes-kes ini tidak diperbesarkan kerana mahu menjaga reputasi Langkawi sebagai pusat pelancongan,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Rakaman CCTV Dedah Situasi Sebenar Budak 4 Tahun Diserang Anjing Liar [Video]



![“RM8 Free Refill”- Air Aiskrim Yogurt Dijual Di Bazar Ramadan Undang Pelbagai Reaksi [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/food.jpeg)
