Pulau Pinang dalam proses wartakan Pesta Hantu Lapar sebagai warisan negeri

11 May 2026 • 12:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pulau Pinang dalam proses wartakan Pesta Hantu Lapar sebagai warisan negeri
Wong Hon Wai

GEORGE TOWN - Sambutan Teong Guan Phor Thor atau Pesta Hantu Lapar kini dalam proses pewartaan sebagai warisan tradisi keagamaan Pulau Pinang di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, proses itu dilaksanakan selepas kerajaan negeri mewartakan tujuh seni warisan budaya dan 28 makanan tradisional sebagai warisan negeri bagi tahun 2026.

Menurutnya, semua warisan budaya tidak ketara yang diwartakan di peringkat negeri berpotensi dicadangkan untuk pewartaan di peringkat kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

“Elemen warisan terpilih juga boleh dipertimbangkan untuk pengiktirafan antarabangsa menerusi Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.

Hon Wai (DAP-Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wong Yuee Harng (DAP-Pengkalan Kota) mengenai pencapaian kerajaan negeri dalam usaha mendapatkan pengiktirafan warisan tidak ketara di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini turut menyokong usaha pencalonan Perarakan Chingay ke senarai UNESCO menerusi pencalonan bersama Malaysia dan Singapura yang dikemukakan pada Mac 2025.

Katanya, pencalonan Tarian Singa ke senarai sama melalui kerjasama Malaysia dan China juga dihantar dalam tempoh sama.

Jelasnya, antara item warisan yang diwartakan pada 7 Mei lalu ialah seni mempertahankan diri Nillaikalakki Silambam serta pelbagai makanan tradisional termasuk air batu campur, ais kepal, capati, cendol, char kuay teow, kari kapitan, asam laksa, martabak, mi goreng mamak, muruku, roti canai, teh tarik, tosai dan yong tau foo.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh promosi warisan budaya tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Antaranya menerusi pameran fesyen kebaya dan pembentangan budaya sarapan Malaysia sempena Minggu Pulau Pinang di Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun,” katanya.

Tambah beliau, Perarakan Chingay turut dianjurkan setiap tahun di George Town dan Butterworth, selain pasukan Chingay Pulau Pinang dijemput menyertai Perarakan Chingay Singapura bagi tahun 2025 dan 2026.

Dalam perkembangan sama, Hon Wai berkata, Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang kini menganjurkan Pameran Silat Siku 12 di cawangan muzium di Jalan Macalister.