GEORGE TOWN - Sebuah bangunan dua tingkat tidak berpenghuni di Pavilun Aceh, Tapak Pesta Sungai Nibong, Bayan Lepas musnah kira-kira 70 peratus dalam kebakaran pada petang Isnin.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 3.49 petang itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 3.49 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bergegas ke lokasi.
Menurutnya, operasi turut dibantu BBP Bayan Baru serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batu Maung.
“Kebakaran melibatkan sebuah bangunan jenis kekal kelas A yang tidak berpenghuni dengan keluasan dianggarkan 50 x 10 kaki persegi.
“Ketika tiba di lokasi pada jam 3.59 petang, komander operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja pemadaman menggunakan kaedah ofensif dan defensif,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.14 petang dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.10 malam.
"Anggota bertugas telah menjalankan kerja-kerja pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan bahaya.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.26 malam. Seramai 16 anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi itu dengan menggunakan tiga jentera termasuk sebuah 'water tanker'," ujarnya.
John berkata, kes seterusnya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.






