Punca kematian Irene Sofiya terjawab, meninggal akibat trauma tumpul di kepala

5 Oct 2026 • 3:27 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Hasil bedah siasat terhadap pelajar perempuan berusia 16 tahun, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor mendapati mangsa meninggal dunia akibat trauma tumpul pada kepala.

Image from: Punca kematian Irene Sofiya terjawab, meninggal akibat trauma tumpul di kepala

Memetik laporan Utusan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, proses bedah siasat terhadap mangsa telah dilakukan oleh pakar patologi forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.

Dalam masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan siasatan kes berkenaan akan dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang unsur ‘cover-up’ atau usaha melindungi mana-mana pihak.

“Kes masih dalam peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau memberikan komen yang boleh mengganggu proses siasatan serta memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Setakat ini, pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dalam siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Image from: Punca kematian Irene Sofiya terjawab, meninggal akibat trauma tumpul di kepala

Menurut Kumar, siasatan dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan, Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.
“Jika hukuman mati tidak dijatuhkan, pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 kali,” jelasnya.

Terdahulu, Irene Sofiya yang merupakan pelajar Tingkatan Empat ditemukan maut di sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada 3 Oktober lalu.

Mangsa ditemukan oleh neneknya yang datang mencarinya di sekolah selepas menyedari cucunya masih belum pulang ke rumah kira-kira pukul 5.30 petang.

Kes berkenaan kini masih dalam siasatan polis.

Sumber: Utusan Malaysia (Maszureen Hazman)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved