Purata 842 Rakyat Malaysia Lepaskan Kewarganegaraan Setiap Bulan Sejak Tahun 2020

LocalPolitics
19 Mar 2025 • 9:38 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Boleh dikatakan, majoriti individu di dunia ini mempunyai sekurang-kurangnya satu kewarganegaraan.

Status inilah membolehkan seseorang itu menikmati keistimewaan dan kemudahan yang diberikan oleh sesebuah negara.

Namun, tidak semua bernasib baik memiliki status tersebut hingga ada yang sanggup berkorban apa sahaja bagi mendapatkan status kewarganegaraan mengikut negara yang didudukinya.

Pun begitu, ada juga yang sanggup melepaskan kewarganegaraan yang dimiliki atas faktor tertentu.

52,225 Permohonan Rakyat Malaysia Lepaskan Kewarganegaraan Diluluskan Sejak Tahun 2020

Terbaharu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan sebanyak 52,225 permohonan rakyat Malaysia untuk melepaskan status kewarganegaraan telah diluluskan sejak 1 Januari 2020 sehingga 15 Februari lalu.

Ini menjadikan secara purata sebanyak 842 melepaskan taraf kewarganegaraan mereka pada setiap bulan.

Pelepasan Kewarganegaraan Dibenarkan Untuk Yang Berumur 21 Tahun Ke Atas

Jelas Saifuddin, permohonan pelepasan kewarganegaraan itu hanya dibenarkan buat mereka yang berumur 21 tahun ke atas dan mempunyai keupayaan mental yang sempurna.

Namun bagi wanita yang telah berkahwin, faktor usia tidak diambil kira dalam permohonan tersebut.

Individu Perlu Kemuka Bukti Mereka Akan Dapat Kewarganegaraan Lain

Pun begitu, syarat utama bagi setiap pemohon adalah mereka perlu mengemukakan dokumen atau bukti kukuh yang mengatakan bahawa mereka telah mendapat atau akan memperoleh kewarganegaraan negara lain.

“Keputusan untuk melepaskan taraf kewarganegaraan dibuat berdasarkan pertimbangan tertentu yang dirasakan berbaloi oleh pemohon setelah meneliti segala aspek yang berkaitan,” katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Negara bagi menjawab soalan ahli Dewan Negara Prof Tan Sri Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah tentang jumlah sijil pelepasan kewarganegaraan dalam tempoh lima tahun.

JPN Terima 8,838 Permohonan Penduduk Tetap (PR), Indonesia Paling Tinggi

Pada masa yang sama, beliau turut mendedahkan sebanyak 8,838 permohonan penduduk tetap (PR) telah diterima oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam permohonan tersebut Indonesia, Thailand dan India mencatatkan kadar permohonan yang tertinggi.

Jelasnya, sebanyak 47.4% permohonan PR yang diluluskan adalah dari Indonesia, diikuti Thailand dengan 12.1% dan India sebanyak 7.2%.

Malah, Saifuddin turut menegaskan setiap permohonan tidak kiralah sama ada kelulusan taraf PR atau pelepasan kewarganegaraan, semua itu dinilai dengan teliti berdasarkan syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan.

Baca Artikel Berkaitan:

Source: