Purata kenaikan gaji pekerja hanya RM61 setahun sejak 2013 – MTUC

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2026 • 11:25 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Seramai 16.77 juta pekerja sektor swasta di negara ini hanya menikmati purata peningkatan gaji sekitar RM61.50 setahun dalam tempoh 13 tahun sejak pelaksanaan dasar gaji minimum.

Image from: Purata kenaikan gaji pekerja hanya RM61 setahun sejak 2013 – MTUC

Foto: Harian Metro

Memetik laporan Utusan, kadar gaji minimum baharu sebanyak RM3,100 sebulan disifatkan wajar bagi memastikan pendapatan pekerja seiring dengan peningkatan kos sara hidup dan keadaan ekonomi semasa.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, kadar gaji minimum yang diperkenalkan pada 2013 ialah RM900 di Semenanjung Malaysia, manakala RM800 di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, kadar berkenaan kemudiannya dinaikkan secara berperingkat sehingga mencapai RM1,700 sebulan mulai Februari 2025.

Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan itu masih tidak sepadan dengan kenaikan kos sara hidup serta kadar inflasi yang direkodkan sepanjang tempoh berkenaan, sekali gus terus memberi tekanan terhadap pekerja.

“Peningkatan kadar inflasi se­kitar 1.8 hingga 2 peratus pada setiap tahun turut memberi tekanan kepada kuasa beli rakyat apabila kenaikan pendapatan tidak bergerak seiring dengan peningkatan kos kehidupan.
“Malah kita perlu mengambil kira aspek kebajikan dan produktiviti pekerja. Hal ini sepanjang 13 tahun, gaji minimum hanya meningkat daripada RM900 kepada RM1,700, bersamaan kenaikan purata kira-kira RM61.50 setahun.
“Jadi sebarang penetapan kadar gaji minimum baharu perlu dilihat semula khususnya kepada RM3,100 bagi memastikan pendapatan pekerja kekal relevan dengan perubahan ekonomi dan kos sara hidup semasa,” katanya, baru-baru ini.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpandangan cadangan menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM3,100 sebulan sebagai tidak munasabah serta tidak praktikal.

MEF turut memaklumkan peningkatan itu melibatkan lonjakan kira-kira 82 peratus.

Cadangan tersebut dibuat susulan gesaan MTUC supaya gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 sebulan dijadikan salah satu rujukan dalam menentukan kadar minimum baharu dengan mengambil kira keadaan ekonomi dan kehidupan semasa.

Mengulas perkara itu, Kamarul Baharin berkata, pihak majikan seharusnya sudah bersedia untuk menghadapi pelarasan gaji minimum memandangkan semakan terhadap kadar berkenaan perlu dilakukan setiap dua tahun seperti yang ditetapkan undang-undang.

Image from: Purata kenaikan gaji pekerja hanya RM61 setahun sejak 2013 – MTUC

Foto: Harapan Daily

Beliau berkata, isu seperti kemungkinan penutupan kilang, pengurangan tenaga kerja, kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemindahan kos kepada pengguna merupakan kebimbangan yang sering dibangkitkan setiap kali kadar gaji minimum dikaji sejak ia diperkenalkan pada 2013.

“Pelaksanaan kadar baharu mungkin mengurangkan keuntungan syarikat, namun dalam jangka panjang, pekerja boleh kekal lebih lama dan majikan berpeluang melahirkan modal insan yang berkualiti.
“Kerugian sesebuah syarikat bukan semata-mata disebabkan gaji pekerja, sebaliknya turut dipengaruhi perubahan teknologi, produk yang kurang berkualiti, kekurangan permintaan dan strategi global,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Unit Sosioekonomi Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Dr Zouhair Rosli berkata, pelaksanaan gaji minimum RM3,100 tidak semestinya membebankan syarikat kerana majikan kini menerima lebih 60 peratus daripada agihan nilai ekonomi negara.

Sebaliknya, beliau berpandangan kadar tersebut mampu membantu mengurangkan jurang agihan pendapatan yang selama ini dilihat kurang memihak kepada pekerja.

Menurutnya, perkembangan gaji sektor formal, peningkatan produktiviti serta keadaan pasaran buruh ketika ini menunjukkan kadar RM3,100 masih dalam lingkungan yang boleh dilaksanakan oleh majikan.

Artikel lain: Kerajaan bakal teliti semula gaji minimum RM1,700 – Ramanan

“Gaji penengah pekerja sektor formal meningkat kepada RM3,167 sebulan pada Disember 2025 berbanding RM3,045 dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Ini menunjukkan majikan mempunyai kemampuan membayar gaji lebih tinggi.
“Produktiviti buruh turut meningkat 4.1 peratus kepada RM45.30 sejam pada 2025 berbanding RM43.50 sejam pada 2024 iaitu peningkatan tahunan tertinggi sejak 2020.
“Kadar pengangguran pula berada pada paras tiga peratus, terendah dalam tempoh 10 tahun, menunjukkan kenaikan gaji lebih tinggi tidak akan mengakibatkan pengangguran yang teruk,” tambahnya lagi.

Sumber: Utusan Malaysia (Johanna Mumtaz)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved