
BEIRUT: Orang awam di selatan Lubnan terus menanggung kesan peningkatan ketara aktiviti ketenteraan Israel sejak dua minggu lalu, menurut Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Dalam kenyataan kelmarin, UNIFIL berkata, pihaknya merekodkan purata 137 projektil dilancarkan setiap hari antara 5 hingga 16 Ogos.
Jumlah itu meningkat kepada 208 projektil pada Sabtu dan 185 lagi pada Ahad, ketika ketegangan di kawasan berkenaan terus memuncak.
Peningkatan itu berlaku walaupun perjanjian gencatan senjata antara Lubnan dan Israel yang dimeterai pada 26 Jun diperbaharui.
Perjanjian yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) itu dikaitkan dengan usaha melucutkan senjata kumpulan Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan.
Bagaimanapun, perjanjian tersebut tidak secara khusus menetapkan pengunduran tentera Israel yang masih menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan.
Hizbullah menolak perjanjian tersebut dan menegaskan tidak akan bersetuju selagi Israel tidak berundur dari Lubnan.
“Ketika ketegangan meningkat, penduduk awam sekali lagi menanggung kesan paling buruk, dengan ramai keluarga terpaksa berpindah atau mengubah rutin harian akibat keadaan tidak selamat dan ketidakpastian,” kata UNIFIL.
UNIFIL berkata, pasukan pengamannya terus menjalankan tugas menerusi rondaan, pemantauan, mengalihkan halangan di jalan raya, mengurangkan risiko daripada bahan letupan dan membantu memastikan akses untuk penghantaran bantuan kemanusiaan.
UNIFIL turut menegaskan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB kekal menjadi kerangka asas bagi memulihkan kestabilan di selatan Lubnan.
Resolusi yang diluluskan pada 2006 itu menggesa penghentian permusuhan antara Israel dan Hizbullah yang disokong Iran, selain memperkukuh penempatan tentera Lubnan serta UNIFIL di selatan negara berkenaan.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun pada Isnin menyuarakan sokongan untuk melanjutkan mandat UNIFIL dan menerima pakai formula yang memastikan pasukan antarabangsa terus berada di kawasan berkenaan.
Mandat UNIFIL di selatan Lubnan dijadual berakhir pada penghujung tahun ini ketika perdebatan antarabangsa mengenai masa depan dan misi pasukan berkenaan terus berlangsung. – AGENSI
The post Peningkatan serangan Israel bebankan penduduk selatan Lubnan appeared first on Utusan Malaysia.






