liza22/10/2026 - 14:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt – Platform pelaburan GOfinance milik TNG Digital Sdn Bhd merekodkan lebih lima juta pengguna dengan jumlah nilai pelaburan yang diproses mencecah RM3.57 bilion setakat 30 September 2026.
Dalam satu kenyataan, pengendali TNG eWallet itu berkata lebih lima juta pengguna berkenaan telah mengakses sekurang-kurangnya satu produk pelaburan melalui GOfinance, hab perkhidmatan kewangan yang disediakan dalam aplikasi berkenaan.
Daripada jumlah itu, lebih 4.7 juta pengguna telah melabur dalam GO+, manakala lebih 700,000 pengguna melakukan transaksi emas digital menerusi e-Mas.
GOfinance menawarkan pelbagai produk pelaburan termasuk dana pasaran wang, Amanah Saham, unit amanah, penyelesaian persaraan, emas digital serta saham tempatan dan antarabangsa.
Serendah RM10
Bagi memudahkan lebih ramai pengguna memulakan pelaburan, produk terpilih ditawarkan dengan nilai permulaan serendah RM10, membolehkan mereka meneroka pilihan berdasarkan matlamat kewangan dan tahap risiko masing-masing.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Kewangan TNG Digital, Desmond Teoh berkata, usaha meluaskan akses kepada pelaburan bukan sekadar menawarkan jumlah permulaan yang rendah, tetapi turut menyediakan kemudahan untuk pengguna meneroka pelbagai pilihan dalam satu aplikasi.
Kerjasama perluas akses kepada saham
Beliau berkata pengguna juga memerlukan akses mudah kepada pilihan pelaburan berbeza tanpa perlu menggunakan pelbagai platform berasingan.
Menurutnya, kerjasama dengan institusi kewangan dan rakan pakar membolehkan TNG Digital memperluas penawaran perkhidmatan kewangannya, di samping memanfaatkan kepakaran pelaburan rakan kerjasama.
GOfinance beroperasi menerusi model platform terbuka dengan menghubungkan pangkalan penggunanya kepada institusi kewangan yang dikawal selia serta rakan khusus bagi menyediakan pelbagai produk pelaburan melalui TNG eWallet.
Kerjasama terbaharu dengan Webull turut memperluas akses pengguna kepada pelaburan saham tempatan dan antarabangsa melalui platform berkenaan.
TNG Digital berkata pendekatan itu membolehkan pengguna mengakses lebih banyak pilihan produk kewangan dalam satu aplikasi, selaras dengan keperluan mereka yang berubah mengikut matlamat kewangan masing-masing.
Syarikat itu turut menegaskan kepentingan kepercayaan pengguna dalam membuat keputusan berkaitan wang, dengan matlamat menyediakan titik permulaan yang praktikal serta pilihan pelaburan yang boleh diteroka apabila keperluan kewangan mereka berubah. - DagangNews.com






