sarah23/10/2026 - 14:25 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt - Kepesatan pembangunan pusat data di Johor dijangka menyerap lebih 90% daripada pertambahan bersih penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia menjelang 2031, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kecukupan bekalan tenaga untuk sektor ekonomi lain, menurut BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions.
BMI berkata, Johor dijangka menghadapi kekangan bekalan elektrik paling ketara berbanding hab pusat data utama lain di Asia Pasifik, termasuk Sydney, Melbourne dan Batam, susulan peningkatan permintaan pengkomputeran awan serta kecerdasan buatan (AI).
Menurut firma penyelidikan itu, pusat data baharu di Johor diunjurkan memerlukan kira-kira 30 terawatt-jam (TWh) elektrik setahun menjelang 2031 berdasarkan senario asasnya, bersamaan lebih 90% daripada unjuran pertambahan bersih penjanaan elektrik Semenanjung Malaysia dalam tempoh berkenaan.
Keadaan itu dijangka menyaksikan bahagian penggunaan elektrik oleh pusat data Johor meningkat kepada kira-kira 18% daripada keseluruhan bekalan elektrik Semenanjung Malaysia pada 2031, berbanding hanya 6% pada 2026.
BMI berkata, walaupun pertambahan kapasiti penjanaan dijangka mencukupi untuk memenuhi permintaan pusat data dalam senario asas, ruang bekalan tambahan untuk kegunaan isi rumah, industri lain dan elektrifikasi akan menjadi semakin terhad.
Malah, dalam senario penggunaan pusat data yang lebih tinggi, keperluan elektrik di Johor boleh meningkat kepada 36.9TWh setahun, mengatasi unjuran pertambahan bersih penjanaan elektrik Semenanjung Malaysia sebanyak 31.4TWh bagi tempoh yang dikaji.
Tekanan terhadap bekalan elektrik itu berlaku ketika Johor muncul sebagai antara lokasi utama pelaburan pusat data serantau, dengan kapasiti operasi semasa dianggarkan sebanyak 825 megawatt (MW) dan tambahan 3.9 gigawatt (GW) dijangka dibangunkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Antara projek utama yang dikenal pasti ialah kampus pusat data YTL berkapasiti 1.2GW, dengan 300MW dijadualkan beroperasi menjelang suku pertama 2027, selain kampus Sedenak berkapasiti 300MW milik Vantage Data Centers yang memperoleh pembiayaan melebihi AS$900 juta (RM3.67 bilion).
Bagaimanapun, BMI menegaskan bahawa cabaran lebih besar bukan semata-mata keupayaan menjana elektrik, sebaliknya mendapatkan sambungan kepada grid tenaga, khususnya di kawasan tumpuan pusat data seperti Taman Teknologi Sedenak dan Nusajaya yang berdepan kekangan pencawang serta infrastruktur sambungan tempatan.
Menurutnya, walaupun kadar penggunaan keseluruhan grid di Johor dianggarkan hanya sekitar 30%, tumpuan permintaan pusat data di lokasi tertentu menyebabkan kapasiti sambungan setempat semakin terhad, sedangkan projek naik taraf grid utama lazimnya mengambil masa antara lima hingga 10 tahun untuk disiapkan.
Tenaga Nasional Bhd (TNB) merancang melabur RM43 bilion bagi menaik taraf grid, namun BMI menjangkakan sebahagian besar projek pusat data yang diumumkan di Johor dan hab serantau lain berisiko beroperasi lebih lewat daripada jadual asal sekiranya sambungan elektrik tidak dapat disediakan tepat pada masanya.
Sehubungan itu, BMI berpandangan projek pusat data yang telah memperoleh sambungan grid, mempunyai penyewa yang komited serta akses pembiayaan kukuh lebih berpotensi diteruskan mengikut jadual, manakala projek yang belum menjamin bekalan elektrik lebih terdedah kepada kelewatan meskipun permintaan terhadap teknologi AI terus berkembang.- DagangNews.com





