Permintaan elektrik pusat data buka peluang projek grid bernilai lebih RM300 juta kepada Jati Tinggi - AmInvestment Bank

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 11:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan elektrik pusat data buka peluang projek grid bernilai lebih RM300 juta kepada Jati Tinggi - AmInvestment Bank Image from: Permintaan elektrik pusat data buka peluang projek grid bernilai lebih RM300 juta kepada Jati Tinggi - AmInvestment Bank sarah23/10/2026 - 11:02 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt - Pertumbuhan pesat industri pusat data di Malaysia dijangka membuka peluang kepada Jati Tinggi Group Bhd (Jati Tinggi) untuk membida projek infrastruktur penghantaran elektrik voltan tinggi bernilai lebih RM300 juta setiap satu, menurut AmInvestment Bank Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan keperluan bekalan elektrik daripada pusat data mendorong pembangunan infrastruktur grid berkapasiti lebih tinggi, daripada rangkaian tradisional 11 hingga 33 kilovolt (kV) kepada 132kV, 275kV dan sehingga 500kV.

 

Menurutnya, projek penghantaran elektrik 132kV hingga 275kV lazimnya bernilai antara RM50 juta hingga RM100 juta, manakala projek 500kV boleh melebihi RM300 juta bergantung kepada skop kerja.

 

"Pasaran infrastruktur tenaga Malaysia bukan sahaja menyaksikan pertambahan projek, malah peralihan kepada kerja-kerja grid yang lebih besar dan kompleks," menurut firma itu dalam nota penyelidikannya.

 

AmInvestment Bank berkata, perkembangan itu disokong oleh perbelanjaan modal terkawal Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebanyak RM42.8 bilion bagi Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) dari 2025 hingga 2027, meningkat daripada RM20.6 bilion dalam tempoh sebelumnya.

 

Firma itu turut menjangkakan perbelanjaan infrastruktur grid kekal tinggi dalam tempoh kawal selia berikutnya (RP5), dengan pelaburan berkaitan Grid Kuasa ASEAN berpotensi menyediakan peluang pertumbuhan tambahan kepada kontraktor tempatan.

 

Bagi Jati Tinggi, kejayaan usaha sama tiga pihak memperoleh kontrak pencawang 500kV di Paka bernilai RM568.2 juta, dengan bahagian kerja kumpulan dianggarkan RM312.5 juta, dijangka memperkukuh keupayaannya bersaing dalam tender projek voltan sangat tinggi. Buku tempahan belum dibilkan kumpulan kini mencecah rekod RM1.5 bilion.

 

Sehubungan itu, AmInvestment Bank mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Jati Tinggi dengan harga sasaran RM2 sesaham, disokong prospek pelaburan grid TNB, pengembangan tenaga boleh baharu dan peluang projek penghantaran elektrik berskala lebih besar.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved