
KUALA LUMPUR – Seramai 76 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai gadi pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Perdana Barat 8, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 77 individu berusia antara 19 hingga 45 tahun.
“Pemeriksaan mendapati premis ini tidak mempunyai lesen hiburan atau sebarang kelulusan pihak berkuasa untuk menjalankan perniagaan pusat hiburan. Kesemua wanita warga asing yang ditahan disyaki berperanan sebagai pelayan,” katanya dalam kenyataan.
Fadil berkata, polis turut merampas sekeping resit perniagaan, dua unit pembesar suara, sebuah mikrofon serta sebuah alat kawalan DJ jenama Pioneer.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan) 1992 kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen, selain beberapa peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua suspek akan dibawa ke hadapan majistret bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Fadil menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang. – KOSMO! ONLINE
The post Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, 76 gadis asing ditahan appeared first on Kosmo Online.





