
KUALA LUMPUR, 17 OKT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 190 warga asing dan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Pudu, di sini pagi tadi susulan aduan orang ramai tentang gangguan ketenteraman awam.
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JIM Datuk Basri Othman berkata warga asing yang ditahan terdiri daripada 99 lelaki dan 91 wanita berumur antara 20 hingga 41 tahun.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 188 orang ialah warga Indonesia, manakala masing-masing seorang warga Bangladesh dan India.
Dua lelaki tempatan yang ditahan dipercayai majikan dan penjaga premis hiburan berkenaan yang terletak kira-kira 10 meter dari sebuah masjid.
"Di dalam pusat hiburan ini terdapat beberapa bilik yang dijadikan tempat berhibur dan ketika serbuan, terdapat antara 50 hingga 60 orang sedang berhibur di dalam setiap bilik berkenaan," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di sini, hari ini.
Basri berkata antara kesalahan imigresen yang dikesan ialah tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata kesemua individu yang ditahan dibawa ke depot tahanan untuk tujuan dokumentasi dan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kesalahan tidak memiliki dokumen yang sah dan tinggal lebih masa.
Sementara itu, Bernama yang mengikuti serbuan berkenaan mendapati terdapat serbuk putih yang dipercayai dadah di beberapa pinggan serta kondom di dalam bilik yang digunakan untuk berhibur.
Mengulas penemuan itu, Basri berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat aktiviti tidak bermoral di premis berkenaan dan siasatan lanjut akan dijalankan.






