30 termasuk 9 suspek dikehendaki pihak berkuasa Singapura ditahan

21 Oct 2026 • 10:02 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 30 termasuk 9 suspek dikehendaki pihak berkuasa Singapura ditahan

PETALING JAYA: Seramai 30 individu termasuk seorang warga tempatan dan 29 warga asing dipercayai terlibat dalam kegiatan persundalan di ditahan menerusi Op Noda-Rentas Sempadan di Kuala Lumpur dan Johor. 

Operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Pihak Berkuasa Singapura (SPF), kelmarin.

Daripada jumlah itu, sembilan individu termasuk seorang warga tempatan dan lapan warga asing dipercayai ahli sindiket persundalan yang sama serta mempunyai rekod dikehendaki (wanted) oleh SPF.

Pengarah JSJ, Datuk M. Kumar berkata, operasi yang dijalankan secara serentak di beberapa premis kediaman di sekitar ibu negara dan Johor pada 20 Oktober lalu itu turut memfokuskan subjek yang disenaraikan sebagai orang dikehendaki oleh pihak SPF.

Beliau berkata, sembilan individu yang dalam senarai dikehendaki itu terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita berumur antara 29 hingga 56 tahun, termasuk tujuh warga China dan seorang warga Singapura.

Ujarnya, kesemua mereka turut dikehendaki oleh SPF berkaitan kesalahan di bawah Section 146A (1)(b) Women’s Charter 1961 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

“Semakan awal juga mendapati seorang warga Singapura dan empat warga China yang ditangkap telah tinggal lebih masa di Malaysia.

“Kesemua sembilan orang tangkapan akan diserahkan kepada pihak SPF melalui Bahagian D12 (NCB/INTERPOL), JSJ Bukit Aman selepas pengesahan identiti di bawah Seksyen 5(3) Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971 dibuat di hadapan majistret,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi sama, beliau berkata, 21 lagi warga asing terdiri daripada lima lelaki dan 16 wanita berusia antara 19 hingga 41 tahun turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti mempromosi dan menguruskan khidmat persundalan secara dalam talian.

“Berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri yang dirampas, tangkapan terdiri daripada 17 warga negara China, tiga warga negara Vietnam dan seorang warga negara Laos.

“Pelbagai peranti elektronik yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti persundalan dalam talian turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.- UTUSAN

The post 30 termasuk 9 suspek dikehendaki pihak berkuasa Singapura ditahan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved