Pusat perlindungan ibu-ibu muda

LocalFamily & Parenting
30 Sep 2025 • 4:25 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Sabah dipilih sebagai lokasi Rumah Ibu Care Centre pertama di Malaysia yang rasmi dibuka di Taman Kingfisher Sulaman.

Pusat itu mampu menempatkan sehingga tujuh orang ibu berusia antara 18 hingga 35 tahun masing-masing dengan seorang atau dua anak kata Pengurus Projek Mother’s Home International Raikhan Berekenova.

“Kami mahu lihat bagaimana ia berfungsi di sini sebelum menyesuaikannya dengan keperluan tempatan.

“Buat masa ini kami masih mempelajari konteks budaya setempat,” katanya.

Pelancaran disempurnakan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Maria Chong.

Raikhan menjelaskan program ini berasaskan kaedah yang terbukti di negara lain tetapi akan diubah suai mengikut kesesuaian tempatan.

“Kami berharap ini menjadi permulaan kepada lebih banyak pusat seumpama ini di Malaysia dengan sokongan rakan kerjasama dan penderma.

“Jika ada lebih ramai rakan tempatan termasuk syarikat korporat yang mahu membantu memberi harapan kepada ibu-ibu ini kami terbuka untuk bekerjasama.

Kami telus menyediakan laporan dan audit dijalankan oleh KPMG,” katanya menambah inisiatif itu disokong Mother’s Home Foundation yang ditubuhkan pada 2023 oleh ahli perniagaan dan dermawan Kazakhstan, Aidyn Rakhimbayev dengan sokongan penuh negara tersebut.

Beliau turut memahami cabaran di Sabah termasuk ibu bawah umur yang menjadi mangsa penderaan rumah tangga, kemiskinan dan stigma sosial.

Pusat berkenaan melengkapkan ibu dengan kemahiran praktikal seperti menjahit, membuat roti, memasak serta kerja dandanan kuku bagi membantu mereka berdikari.

Menurutnya golongan ibu terbabit boleh tinggal sehingga enam bulan dengan lanjutan bergantung kepada kes individu.

“Bulan pertama adalah tempoh orientasi, diikuti empat bulan latihan, kaunseling dan sokongan perubatan.

“Bulan terakhir pula memberi persediaan ke arah kehidupan berdikari seperti menghadiri temu duga kerja atau mendaftarkan perniagaan kecil,” jelas Raikhan.

Mother’s Home International Foundation (MHIF) ialah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang berdedikasi melindungi ibu-ibu yang menghadapi krisis, mencegah pembuangan bayi dan mengekalkan keutuhan keluarga.

Sejak diperkenalkan di Kazakhstan pada 2013 inisiatif Mother’s Home berkembang kepada 20 pusat di 18 bandar membantu lebih 10,000 bayi kekal bersama keluarga mereka dan mengelakkan ribuan daripada dihantar ke rumah anak yatim.

Di Malaysia MHIF menyasarkan untuk membantu lebih 100 wanita dan kanak-kanak setiap tahun dengan rancangan untuk berkembang ke negeri lain pada masa depan.