Pusat TEDUH kini tersedia di 12 PBT Selangor, beri keselesaan penghantar p-hailing

3 Sep 2026 • 2:43 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pusat TEDUH kini tersedia di 12 PBT Selangor, beri keselesaan penghantar p-hailing

PETALING JAYA, 3 SEPTEMBER: Selepas berdepan panas, hujan dan tekanan mengejar masa penghantaran, penghantar p-hailing di Selangor kini mempunyai ruang rehat khusus menerusi Pusat TEDUH (Tempat Elok untuk Hentian) yang tersedia di kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata kemudahan itu memberi ruang kepada penghantar untuk berhenti seketika sementara menunggu pesanan, selain berlindung daripada cuaca tidak menentu.

“Dengan cuaca yang panas dan keperluan mendesak terutama daripada platform yang mengsyaratkan mereka untuk lebih segera serta mengurangkan masa penghantaran, tentunya ada tekanan kepada penghantar.

“Jadi dengan adanya tempat TEDUH ini, ia dapat membantu meringankan tekanan kepada penghantar p-hailing,” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat TEDUH @ MBPJ di SS2 di sini, hari ini.

Image from: Pusat TEDUH kini tersedia di 12 PBT Selangor, beri keselesaan penghantar p-hailing
EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada media selepas majlis Perasmian TEDUH@MBPJ di Taman Bandar SS2, Petaling Jaya pada 3 September 2026. Foto HAFIZ OTHMAN

Menurut Mohammad Fahmi, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM30,000 kepada setiap PBT bagi membangunkan kemudahan berkenaan, manakala tambahan dana boleh disediakan mengikut keperluan masing-masing.

“Penambahan peruntukan ditentukan oleh PBT sendiri berdasarkan kapasiti rider di kawasan masing-masing dan saiz kemudahan yang ingin dibangunkan.

“Walau bagaimanapun, setiap tempat perlu memenuhi ciri standard seperti kipas, tempat duduk, ruang motosikal berbumbung jika boleh serta kemudahan mengecas telefon,” ujarnya.

Pusat TEDUH @ MBPJ dibangunkan dengan kos keseluruhan RM130,000, merangkumi peruntukan awal RM30,000 daripada Kerajaan Negeri dan tambahan RM100,000 oleh MBPJ bagi menyediakan struktur yang lebih kemas dan selamat.

Image from: Pusat TEDUH kini tersedia di 12 PBT Selangor, beri keselesaan penghantar p-hailing
EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah bergambar bersama selepas menyampaikan cenderahati kepada wakil wakil penunggang e-hailing ketika majlis Perasmian TEDUH@MBPJ di Taman Bandar SS2, Petaling Jaya pada 3 September 2026. Foto HAFIZ OTHMAN

Mohammad Fahmi berkata fasa pertama pembangunan Pusat TEDUH membabitkan lima PBT sebelum diperluas sehingga sekurang-kurangnya satu kemudahan siap dibangunkan di setiap 12 PBT di Selangor.

“Kita akan membuat pelancaran di tempat lain dan yang seterusnya mungkin di Sepang,” katanya.

Projek TEDUH mula diperkenalkan pada 25 September tahun lalu sebagai kawasan rehat selamat untuk penghantar p-hailing selepas membuat penghantaran atau ketika menunggu pesanan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved