Puspakom, MIROS perkukuh kerjasama strategik keselamatan jalan raya berasaskan data, R&D

13 Jan 2026 • 5:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Puspakom, MIROS perkukuh kerjasama strategik keselamatan jalan raya berasaskan data, R&D image is not available haziq13/01/2026 - 17:36 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Jan –   Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan jalan raya dan kenderaan melalui pendekatan berasaskan data, tadbir urus perkhidmatan pemeriksaan serta penerokaan kolaborasi penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

Dalam kenyataan hari ini, Puspakom berkata, kerjasama itu yang akan diadakan menerusi laksanakan Program Bersama dipersetujui ketika kunjungan hormat Puspakom ke pejabat Miros diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman semalam.

 

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi MIROS, Dr Wong Shaw Voon dan Ketua Pengarah MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak.

 

Siti Zaharah berkata, pencapaian hasil keselamatan jalan raya yang berkesan amat bergantung kepada kerjasama erat antara pengendali dan institusi penyelidikan.

 

“Melalui penglibatan ini, MIROS berperanan menyumbang pandangan teknikal serta kepakaran penyelidikan bagi menyokong penambahbaikan berterusan dalam ekosistem pemeriksaan kenderaan secara khusus, dan penyelidikan keselamatan jalan raya secara amnya,” katanya.

 

Siti Zaharah berkata, MIROS juga akan menyokong usaha penambahbaikan melalui analisis data, penilaian risiko serta cadangan teknikal yang boleh membantu memperkukuh keselamatan kenderaan dan meningkatkan keyakinan orang awam.

 

Menurutnya, pelaksanaan audit teknikal berkaitan pemeriksaan kenderaan adalah selaras dengan fungsi MIROS di bawah Akta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2012 (Akta 748), termasuk peranan untuk mengkaji semula kaedah ujian yang dijalankan oleh organisasi pemeriksaan kenderaan.

 

Mahmood Razak berkata, dalam landskap mobiliti yang semakin kompleks, perkhidmatan pemeriksaan kenderaan perlu terus diperkukuh melalui tadbir urus yang mantap dan pemantauan bebas.

 

Tambahnya, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Puspakom dan MIROS dalam memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di Malaysia dilaksanakan secara selamat, telus dan berintegriti demi keselamatan pengguna jalan raya. - DagangNews.com

Terkini standard