Puspakom perkenal sistem pemeriksaan kenderaan baharu dibantu AI

TechnologyCars
9 Aug 2026 • 11:54 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Puspakom perkenal sistem pemeriksaan kenderaan baharu dibantu AI

PETALING JAYA: Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) memperkenalkan sistem pemeriksaan kenderaan baharu yang dibantu oleh kecerdasan buatan (AI) yang lebih berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, teknologi itu direka bentuk melalui kerjasama dengan syarikat teknologi tempatan, Keymag Sdn. Bhd., ia mengautomasikan pengesanan komponen dan kecacatan kenderaan melalui analisis imej pintar.

Menurut beliau, sistem itu berupaya mengesan kecacatan seperti kakisan, kebocoran minyak, kerosakan sistem brek, kecacatan gandar dan kerosakan struktur dengan lebih konsisten, sekali gus meningkatkan kecekapan pemeriksaan dengan ketara.

“AI membolehkan kami mentakrif semula cara pemeriksaan kenderaan dilaksanakan. Dengan mengintegrasikan AI ke dalam proses pemeriksaan, kami dapat meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh konsistensi pemeriksaan dan memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik tanpa menjejaskan integriti pemeriksaan berkanun kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Puspakom memanfaatkan AI bukan sekadar untuk memperkenalkan teknologi baharu tetapi untuk mewujudkan manfaat yang bermakna kepada pelanggan, pengguna jalan raya dan komuniti secara keseluruhan. 

Katanya, AI memberikan nilai yang nyata kepada pemandu kenderaan komersial yang bergantung kepada produktiviti untuk menjana pendapatan.

“Sebagai contoh, dengan mengurangkan masa yang diperlukan untuk pemeriksaan bawah kenderaan berkuasa AI daripada 10 minit kepada kira-kira satu minit, iaitu pengurangan hampir 90 peratus daripada tempoh pemeriksaan, seorang pemandu lori memperoleh kira-kira 10 minit tambahan yang boleh digunakan untuk membuat penghantaran, melayani pelanggan atau pulang ke rumah lebih awal. 

“Dalam industri logistik di mana masa amat berharga, penjimatan ini amat bernilai. Pada masa yang sama, peningkatan kecekapan ini membolehkan kami memeriksa lebih banyak kenderaan setiap jam, meningkatkan kapasiti perkhidmatan, mengurangkan masa menunggu dan menyumbang kepada ekosistem pengangkutan yang lebih selamat serta cekap untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Mahmood berkata, sistem itu turut menyediakan rekod pemeriksaan digital yang memperkukuh ketelusan dan menyokong pengesahan objektif sekiranya dapatan pemeriksaan dipertikaikan. 

Jelasnya, ia memastikan setiap pemeriksaan berkanun terus memenuhi piawaian tertinggi dari segi keselamatan, profesionalisme dan pematuhan peraturan.

“Selain pemeriksaan bawah kenderaan, Puspakom turut memperluaskan keupayaan AI menerusi usahasama pembangunan ASTRA, iaitu penyelesaian pemeriksaan atas kenderaan yang sedang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). 

“Bersama-sama dengan keupayaan pemeriksaan tayar berkuasa AI yang akan diperkenalkan pada masa hadapan, inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang Puspakom ke arah pemeriksaan kenderaan pintar dan inovasi berterusan. 

“Kesemua inovasi ini akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 24 bulan akan datang,” katanya.-UTUSAN

 

 

The post Puspakom perkenal sistem pemeriksaan kenderaan baharu dibantu AI appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved