
KUALA LUMPUR: Puteri UMNO mahu keupayaan mereka dinilai berdasarkan sumbangan kepada parti, bukan sekadar usia, jumlah ahli atau program yang dilaksanakan.
Exco Puteri UMNO, Nadhirah Afiqah Abdul Rahim berkata, selepas 25 tahun penubuhannya, sayap itu tidak mahu hanya dianggap sebagai anggota paling muda dalam keluarga besar UMNO.
“Puteri menghargai perjalanan sebagai anak atau adik bongsu yang dibimbing, ditegur dan diberikan ruang untuk belajar. Namun, 25 tahun juga membawa kematangan.
“Anak yang sudah dewasa bukan sekadar mempunyai tempat di dalam rumah, tetapi turut bertanggungjawab membantu menjaganya,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Nadhirah Afiqah, peranan Puteri perlu dilihat menerusi kemampuannya mendekati wanita muda, memahami perubahan generasi dan menyediakan barisan pelapis kepimpinan.
Katanya, sayap itu juga mahu menjadi jambatan kepada golongan wanita yang berminat menyumbang dalam politik.
“Dalam rumah besar UMNO ini, kita semua mempunyai peranan. Wanita menjadi akar kita, Pemuda membawa tenaga dan Puteri menjadi jambatan kepada wanita yang mahu menyumbang serta memikul tanggungjawab dalam politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, merit, prestasi dan penerimaan rakyat mesti menjadi ukuran dalam mengetengahkan wanita muda sebagai calon.
“Bukan semata-mata kerana mereka masih muda atau wanita, tetapi kerana mereka mampu membawa kemenangan dan melaksanakan amanah.
“Jika ada yang sudah bersedia, berilah peluang. Jika belum, tugas kita adalah untuk membina mereka dari sekarang,” katanya. –UTUSAN
The post Puteri UMNO mahu dinilai berdasarkan sumbangan, prestasi appeared first on Utusan Malaysia.






