Penyatuan Melayu tidak boleh sekadar slogan – Nurul Amal

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 12:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penyatuan Melayu tidak boleh sekadar slogan – Nurul Amal

 KUALA LUMPUR: Penyatuan Melayu tidak boleh hanya dibina melalui seruan ‘mari kita bersatu’, sebaliknya memerlukan kepercayaan antara rakyat dan pemimpin bagi memastikan kesatuan itu mampu bertahan.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, ramai orang Melayu kini sudah letih melihat perpecahan dan mahu pemimpin mencari lebih banyak titik persamaan berbanding alasan untuk terus bertembung.

“Ramai orang Melayu yang sudah letih melihat perpecahan. Ada yang bertanya, mengapa perbezaan politik terus dijadikan alasan untuk kita saling menjauh.

“Ada yang mahu melihat pemimpin Melayu mencari lebih banyak titik persamaan daripada alasan untuk terus bertembung,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin.

Menurut beliau, suara berkenaan tidak boleh diketepikan hanya kerana pemimpin terlalu sibuk dengan pertelingkahan politik sehingga gagal mendengar keresahan rakyat.

Katanya, penyatuan yang mahu bertahan memerlukan kepercayaan, kerana tanpa kepercayaan rakyat terhadap pemimpin, seruan penyatuan hanya akan tinggal sebagai slogan.

“Penyatuan yang mahu bertahan juga memerlukan kepercayaan. Kalau rakyat tidak percaya kepada kita, seruan penyatuan hanya tinggal seruan.

“Kalau antara pemimpin sendiri tidak ada kepercayaan, kesatuan mudah pecah apabila kepentingan berubah,” katanya.

Nurul Amal berkata, penyatuan juga tidak seharusnya dibina atas ketakutan terhadap kelompok lain kerana pendekatan sedemikian tidak mampu menyediakan asas kukuh untuk masa depan.

“Dan kalau penyatuan hanya dibina atas ketakutan kepada orang lain, ia tidak akan memberikan asas yang kukuh untuk masa depan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Puteri UMNO mahu membawa pendekatan politik kepercayaan bagi mengembalikan keyakinan rakyat bahawa perjuangan politik bukan semata-mata berkaitan siapa yang mendapat kuasa.

Sebaliknya, katanya, politik perlu dinilai berdasarkan kemampuan pemimpin menjaga kepentingan rakyat, bekerja dan sanggup meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan diri.

“Sebab itu kita perlu bina Politik Kepercayaan. Politik yang membuatkan rakyat kembali yakin bahawa perjuangan kita bukan semata-mata tentang siapa mendapat kuasa.

“Tetapi tentang siapa yang benar-benar mampu menjaga kepentingan mereka.

“Siapa yang boleh dipercayai. Siapa yang boleh bekerja. Siapa yang sanggup meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan diri.

“Dan siapa yang mempunyai keberanian untuk mencari titik pertemuan apabila keadaan menuntut kita bersatu,” katanya. – UTUSAN

The post Penyatuan Melayu tidak boleh sekadar slogan – Nurul Amal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved