
Hujung minggu lalu, satu pemberontakan senjata telah berlaku di Rusia apabila Ketua Kumpulan Wagner, Yevgeny Prigozhin telah berikrar untuk menumbangkan kepimpinan ketenteraan Rusia sekaligus menjadikan ia salah satu krisis politik terbesar di negara itu sejak beberapa dekad.
Prigozhin telah mengarahkan anggotanya untuk berarak ke Moscow dan mengatakan bahawa dia dan 25,000 tenteranya “bersedia untuk mati” namun semalam, lelaki ini telah mengarahkan anggotanya untuk berundur selepas mencapai kata putus dengan Presiden Belarus, Alexander Lukashenko yang menjadi perantara untuk menamatkan krisis ini.
Jadi apa sebenarnya yang berlaku sehingga kumpulan Wagner ini mahu lancarkan perang ke atas kepimpinan ketenteraan Rusia? Siapa dorang ni? Dekat bawah ni adalah kronologi tentang apa yang berlaku di Rusia pada ketika ini.
Apa itu Wagner? Siapa Yevgeny Prigozhin?

Kalau korang nak tahu, Presiden Rusia Vladmir Putin telah membawa masuk tentera upahan, Wagner yang dipimpin oleh Yevgeny Prigozhin bagi membantu negaranya itu menceroboh Ukraine.
Yevgeny Prigozhin yang berusia 62 tahun ini memainkan peranan penting ketika perang Rusia terhadap Ukraine dengan menghantar anggotanya menjadi barisan utama mewakili Rusia.
Wagner telah mengetahui serangan di Bakhmut sehingga Putin boleh mengisyiharkan bahawa bandar tersebut berada di bawah kekuasaannya sekaligus membuktikan kejayaan Putin sejak musim panas lalu.
Bagaimana krisis Wagner vs Putin bermula?

Ketegangan yang berlaku di antara Wagner dan kepimpinan ketenteraan Rusia telah pun berlaku sejak berbulan-bulan lalu selepas Prigozhin percaya berlakunya kegagalan kepimpinan di dalam ketenteraan tersebut.
Ketegangan yang berlaku menjadi bertambah buruk, apabila Jumaat lepas, Prigozhin turut menuduh Moscow telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas kem tenteranya di Ukraine sehingga menyebabkan ramai anggotanya terbunuh.
Dua pemimpin tertinggi tentera Rusia iaitu Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu dan Ketua Staf Am Rusia, Valery Gerasimov telah menjadi sasaran utama Prigozhin sehingga lelaki ini meminta Shoigu dan Gerasimov untuk berdepan dengan skuad penembaknya.
Ini kerana, pada baru-baru ini Shoigu telah memutuskan bahawa formasi sukarelawan perlu menandatangai kontrak dengan Kementerian Pertahanan sebelum 1 Julai sekaligus akan meletakkan Wagner di bawah kawalan Shoigu.
Jelasnya keputusan ini tak dipersetujui oleh Prigozhin yang seterusnya menegaskan bahawa Wagner enggan menandatangani perjanjian itu.
Tak cukup dengan itu, pelantikan Gerasimov sebagai komander perang di Ukraine juga merupakan satu tamparan yang hebat buat Prighozin yang turut kehilangan sumber tenaga selepas Kementerian Pertahanan menghalangnya untuk merekrut tentera di penjara.
Apa yang Prigozhin lakukan?
Sabtu lalu, Prigozhin mengatakan bahawa Wagner telah merampas pangkalan kawalan utama ketenteraan Rusia di wilayah selatan Rostiv dan memberitahu dua komander tentera Rusia bahawa dia akan menyekat Rostiv dan menghantar anggotanya ke Moscow melainkan dia dapat berdepan dengan dua musuhnya, Shoigu dan Gerasimov.
Prigozhin turut meminta Rusia untuk menyertai Wagner dalam peperangannya terhadap Shoigu dan Gerasimov serta turut menuduh dua musuhnya ini telah berbohong tentang maklumat perang di Ukraine dan jumlah korban di sana.
Ketika mengambil alih bandar Rostov-on-Don, kira-kira 10,000 meter persegi jalan di bandar tersebut telah dirosakkan oleh kereta kebal. Manakala pihak berkuasa di Voronezh, Maksim Yantsov pula mengatakan bahawa sebanyak 19 rumah di perkampungan Yelizavetovka telah musnah akibat serangan senjata api yang melibatkan Wagner.
Namun begitu, pihak berkuasa Rusia tidak melaporkan apa-apa kehilangan nyawa yang berlaku akibat krisis ini walaupun Prigozhin mendakwa Wagner telah menembak beberapa pesawat udara tentera Rusia.
Bagaimana kata sepakat dicapai sehingga krisis ini ditamatkan?

Ketika krisis ini berlaku, ramai penganalisis meramalkan bahawa Prigozhin akan dibunuh atau ditahan dalam perjalanan ke Moscow. Namun satu perjanjian telah dicapai sehingga Prigozhin bersetuju untuk mengarahkan anggotanya untuk berundur.
Perjanjian ini telah dibuat oleh Presiden Belarus, Alexander Lukashenko yang menjadi orang tengah. Menurut agensi berita Belarus, presiden ini telah bercakap dengan Putin sebelum berunding dengan Prigozhin dan berjanji Wagner akan diberikan perlindungan.
Menurut laporan media Rusia, Wagner telah meninggalkan bandar Rostov-on-Dov selepas Putin dikatakan bersetuju untuk tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Prigozhin dan dia akan dihantar ke Belarus.
Untuk pengetahuan korang, tindakan Wagner ini adalah cabaran paling serius buat Putin selepas memegang jawatan sebagai presiden sejak 1999.
Malah orang-orang di Rostov-on-Dov telah memberi sorakan kepada tentera-tentera Wagner ketika mereka berundur dan ada yang cuba bersalam dengan Prigozhin ketika dia memandu pergi dengan SUV-nya. Adegan ini jelasnya telah menimbulkan ketakutan kepada Putin atas populariti yang dimiliki oleh pemberontak.
Sumber: Washington Post, FMT, CBS News, Moscow Times
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


