PWS rekod wakaf tunai korporat RM1.51 juta sepanjang Ramadan

LocalBusiness & Finance
18 Mar 2026 • 10:05 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 18 MAC: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) merekodkan kutipan wakaf tunai korporat dan khas melebihi RM1.51 juta sepanjang Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata sumbangan tersebut melibatkan 16 penyumbang terdiri daripada agensi kerajaan dan syarikat swasta.

"Ia merangkumi 10 penyumbang wakaf tunai dan enam penyumbang wakaf khas. Antara penyumbang utama ialah pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan masing-masing menyumbang RM50,000.

"Selain itu, Public Islamic Bank Berhad turut menyumbang RM50,000, manakala Teraju Ekonomi Asnaf mencatat sumbangan wakaf tunai tertinggi RM100,000," katanya.

Beliau berkata bagi kategori wakaf khas, beberapa syarikat korporat turut tampil menyumbang dalam jumlah besar termasuk Aidil Color Sdn Bhd, Azman Hamzah Plastic Sdn Bhd dan Industrial Quality Sdn Bhd dengan sumbangan RM300,000 setiap satu.

Menurutnya, kutipan sepanjang Ramadan ini membuktikan tahap kepercayaan tinggi sektor korporat terhadap wakaf sebagai instrumen kebajikan dan pembangunan ummah.

"Komitmen ini bukan sahaja mencerminkan sokongan berterusan pihak industri, malah mengukuhkan peranan wakaf sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi yang mampan dan berimpak tinggi," ujar beliau.

Beliau berkata PWS akan terus memperluas usaha bagi menarik lebih banyak penyertaan agar manfaat wakaf dapat disalurkan secara menyeluruh kepada golongan memerlukan serta menyokong agenda pembangunan negeri.

"Orang ramai dialu-alukan menyertai Wakaf Tunai melalui platform rasmi yang disediakan bagi memastikan kesinambungan agenda kebajikan dan pembangunan masyarakat," katanya.

Tambahnya, setiap sumbangan wakaf oleh individu mahupun syarikat layak menikmati pengecualian cukai pendapatan sehingga 10 peratus daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved