GEORGE TOWN – Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) memperuntukkan sebanyak RM4.8 juta bagi pelaksanaan Program Agihan Zakat Nur Ramadan 1447H/2026M di seluruh negeri bagi membantu golongan asnaf membuat persiapan sepanjang Ramadan.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, daripada jumlah tersebut, RM3.3 juta diperuntukkan bagi bantuan tunai manakala RM1.5 juta lagi disalurkan dalam bentuk e-hamper kepada penerima yang layak.
Menurutnya, program itu dilaksanakan secara konsisten setiap tahun sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan asnaf fakir dan miskin khususnya ketika Ramadan.
“Pada tahun ini, setiap penerima akan menerima bantuan tunai sebanyak RM800 serta e-hamper bernilai RM100 bagi membantu keperluan harian mereka sepanjang bulan Ramadan.
“Program ini juga dirangka bagi membantu golongan asnaf membuat persiapan yang lebih teratur sekali gus meringankan beban kewangan mereka sepanjang Ramadan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Program Agihan Zakat Nur Ramadan 1447H di Masjid Al Mustaghfirin di Bayan Lepas pada Selasa.
Beliau berkata, pada peringkat awal pelaksanaannya, program berkenaan memberi tumpuan kepada asnaf fakir dan miskin yang menerima Bantuan Kewangan serta Bantuan Makanan Bulanan.
Bagaimanapun katanya, mengambil kira cabaran ekonomi semasa yang semakin mencabar, program tersebut kini diperluaskan menjadi satu inisiatif bantuan yang lebih menyeluruh.
Menurutnya, matlamat utama pelaksanaan program itu adalah untuk meringankan beban kehidupan golongan asnaf supaya mereka dapat melalui Ramadan dengan lebih tenang serta menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kesyukuran.
“Program ini juga menjadi medium penting untuk menyemarakkan kesedaran berzakat dalam kalangan umat Islam di Pulau Pinang.
“Ia menunjukkan bahawa zakat yang ditunaikan oleh para pembayar zakat dapat disalurkan kembali kepada golongan yang memerlukan melalui sistem agihan yang tersusun dan berkesan,” katanya.
Mohamad berkata, bagi tahun ini seramai 4,126 penerima Skim Bantuan Kewangan dan Makanan Bulanan termasuk penerima skim bantuan sekali gus akan menerima bantuan tersebut.
**media[3459216]**
Menurutnya, bantuan tunai sebanyak RM800 akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima manakala e-hamper bernilai RM100 boleh ditebus menggunakan kad pengenalan di premis yang telah ditetapkan.
“Selain itu, seramai 10,000 penerima tambahan turut dikenal pasti melalui cadangan kariah masjid di seluruh negeri yang akan menerima bantuan e-hamper bagi memastikan lebih ramai golongan asnaf dapat merasai manfaat daripada inisiatif ini.
“Para penerima juga akan menerima surat makluman rasmi daripada pihak Zakat MAINPP serta masjid kariah masing-masing sebagai pengesahan penerimaan bantuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, bagi penerima yang hadir pada majlis tersebut mereka akan menerima RM300 secara tunai manakala baki RM500 akan dikreditkan ke akaun bank, selain turut menerima hamper sumbangan Zakat Mart serta pek makanan berbuka puasa.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, Kerajaan Pulau Pinang melalui MAINPP terus komited memperkasa institusi masjid di negeri itu.
Menurutnya, bagi tahun ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM25.34 juta bagi pembangunan masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang, meningkat berbanding RM17.7 juta pada tahun 2025.
“Selain pembangunan struktur serta pengukuhan tadbir urus institusi masjid, kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada usaha mengimarahkan masjid khususnya sepanjang Ramadan.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri menyalurkan Sumbangan Ihya’ Ramadan kepada seluruh masjid di Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melibatkan peruntukan RM265,000,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyalurkan Sumbangan Pengimarahan Masjid kepada Masjid Negeri, Masjid Bandaraya, Masjid Pelancongan serta masjid-masjid daerah di seluruh negeri dengan jumlah keseluruhan RM1 juta.
Tambahnya, usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan institusi masjid terus hidup dan aktif bukan sahaja sebagai tempat ibadah malah sebagai pusat pembinaan rohani serta penyatuan masyarakat.
Katanya lagi, pelbagai usaha pembangunan Islam di negeri ini turut digerakkan melalui Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang selari dengan aspirasi pembangunan negeri menerusi Visi Penang2030.






