Qabil Irfan Sasar Podium Kedua Musim Ini Di Magny-Cours

21 Jul 2026 • 2:43 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Qabil Irfan Sasar Podium Kedua Musim Ini Di Magny-Cours

SEPANG, 21 Julai – Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan meletakkan sasaran untuk memburu podium kedua musim ini apabila turun beraksi pada Pusingan 4 Moto4 European Cup di Litar Magny-Cours, Perancis dari 24 hingga 26 Julai.

Pelumba SIC-GRYD Racing itu hadir dengan keyakinan tinggi selepas mencipta podium sulung kariernya pada pusingan terdahulu di Jerez, Sepanyol. Keputusan tersebut bukan sahaja menjadi pencapaian terbaiknya musim ini, malah membuktikan Qabil kini semakin mampu bersaing bersama kelompok pelumba terbaik Eropah.

Ketika ini, pelumba berusia 14 tahun itu menghuni tangga keenam keseluruhan kejuaraan dengan 51 mata dan hanya dipisahkan beberapa mata daripada kelompok lima terbaik. Keputusan podium di Magny-Cours mampu melonjakkan kedudukannya dalam carta keseluruhan sekiranya berjaya mengekalkan prestasi cemerlang.

Sepanjang tempoh rehat, Qabil menjalani latihan intensif di Barcelona, Sepanyol dengan memberi tumpuan kepada aspek kecergasan, penyesuaian teknikal serta persediaan menghadapi karakter Litar Magny-Cours yang terkenal dengan selekoh pantas dan zon membrek mencabar.

“Sudah pasti saya sangat teruja untuk turun berlumba di Magny-Cours. Saya tahu cabaran kali ini tidak mudah kerana semua pelumba semakin kompetitif dan sangat laju sejak sesi latihan lagi. Saya juga sudah membuat persiapan sebaik mungkin bersama pasukan dan akan memberikan 100 peratus dalam setiap sesi untuk memastikan saya kekal memberi tentangan dalam kelompok hadapan,” kata Qabil.

Pengurus pasukan, ZK, mengakui Magny-Cours bakal menjadi cabaran baharu buat Qabil kerana ini merupakan kali pertama pelumba muda negara itu berlumba di litar berkenaan. Namun beliau percaya persiapan yang dilakukan mampu membantu Qabil tampil lebih kompetitif sepanjang hujung minggu perlumbaan.

“Pusingan keempat di Magny-Cours adalah satu lagi cabaran baharu buat Qabil kerana ini kali pertama dia berlumba di sini. Saya akan berada bersama Qabil sepanjang minggu ini dan saya yakin pasukan mampu melakukan beberapa penambahbaikan terhadap jentera bagi memastikan dia lebih kompetitif. Jadual kali ini juga agak padat kerana tiada sesi latihan pada Khamis, jadi Qabil perlu memulakan saingan dengan baik sebaik sahaja turun ke litar pada Jumaat serta menyesuaikan diri dengan karakter litar secepat mungkin,” katanya.

Selepas tiga pusingan, Álvaro Lucas masih mendahului kejuaraan dengan 95 mata, diikuti Lorenzo Pritelli (61 mata), Mateo Marulanda (59 mata), Edoardo Savino (56 mata), Ignacio Galán (53 mata) dan Qabil Irfan di kedudukan keenam dengan 51 mata.

Dengan momentum yang semakin positif selepas podium sulung di Jerez, aksi di Magny-Cours dilihat sebagai peluang terbaik buat wakil Malaysia itu untuk memburu podium kedua musim ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam perebutan kelompok lima terbaik Moto4 European Cup 2026.

The post Qabil Irfan Sasar Podium Kedua Musim Ini Di Magny-Cours appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved