
KAHERAH: Qatar pada Selasa memberi amaran bahawa rantau Asia Barat kini berada di ambang peningkatan konflik yang berpotensi menjadi “tidak dapat dikawal”, hanya beberapa jam sebelum tarikh akhir ditetapkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk Iran mencapai satu persetujuan.
Menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa), jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, berkata pihaknya sejak 2023 telah mengingatkan bahawa peningkatan ketegangan tanpa kawalan boleh membawa kepada situasi yang lebih buruk.
“Kami telah memberi amaran bahawa peningkatan konflik tanpa kawalan akan membawa kita ke situasi yang tidak dapat dikawal dan kini kita sangat hampir ke tahap itu,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak agar segera mencari penyelesaian bagi menamatkan perang sebelum keadaan menjadi semakin parah.
Ultimatum yang dikeluarkan Trump terhadap Iran, sama ada mencapai persetujuan atau berdepan serangan besar terhadap kemudahan tenaga serta infrastruktur awam, dijadual berakhir pada Selasa malam (0000 GMT Rabu).
“Kelangsungan perang ini hanya akan meningkatkan kos kepada rakyat di rantau ini, menjejaskan keamanan dan keselamatan antarabangsa, serta memberi kesan kepada ekonomi global dan pasaran tenaga dunia,” tambahnya dalam sidang media di Doha.
Negara Teluk Nafi Terlibat, Fokus Pertahanan
Dalam perkembangan sama, Qatar dan sekutu Amerika Syarikat lain di rantau Teluk dilaporkan berdepan serangan berterusan dari Tehran susulan tindakan Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari.
Namun, negara-negara Teluk menegaskan mereka tidak terlibat dalam konflik tersebut, sebaliknya memberi tumpuan kepada mempertahankan wilayah dan kedaulatan masing-masing.
Al-Ansari turut memaklumkan bahawa Qatar telah berhubung dengan pentadbiran Trump sejak sebelum ia mengambil alih jawatan, sebagai sebahagian daripada usaha pengantaraan antara Hamas dan Israel.
“Kami berkomunikasi setiap hari dengan rakan runding di Amerika Syarikat dan bekerjasama rapat, khususnya dalam aspek pertahanan negara,” katanya lagi. – The Malaysian Update
The post Qatar Beri Amaran Konflik Asia Barat Hampir Tidak Terkawal appeared first on The Malaysian Update.


