Qayyim unggul, Qabil ketiga Moto4

2 Aug 2026 • 7:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Qayyim unggul, Qabil ketiga Moto4

PETALING JAYA: Dua pelumba muda negara, Qayyim Razin Razali dan Qabil Irfan Azlan mendominasi podium pada Perlumbaan 1, pusingan kedua Kejuaraan Moto4 Piala Asia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Qayyim Razin, 14, mencipta kejutan apabila diumumkan sebagai juara selepas keputusan akhir yang diputuskan menerusi ‘foto finish’ dengan catatan masa terpantas 25 minit 21.883 saat (s).

Pelumba Jepun, Kotaro Toga yang sejak awal perlumbaan 11 pusingan itu bersaing sengit dengan Qabil Irfan, terpaksa menerima hakikat kedudukan naib juara menjadi miliknya dengan lakaran masa 25:21.884s.

Untuk Qabil Irfan pula, dia yang memulakan saingan dari petak pertama dan mendominasi sepanjang perlumbaan terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga menerusi catatan 25:21.886s selepas dipintas di garisan penamat.

Qayyim Razin berkata, dia benar-benar terkedu berjaya menamatkan Perlumbaan 1 selaku juara dan tidak menduga sama sekali mampu memberikan tentangan sengit dengan pesaing terdekat.

“Sejak awal perlumbaan lagi, semuanya sangat sukar dan kami bersaing begitu rapat di antara satu sama lain.

“Susah sebenarnya untuk berada di kelompok hadapan dan rasa seperti bermimpi pula. Saya harap persembahan saya akan lebih konsisten selepas ini dan banyak lagi yang saya perlu belajar,” katanya ketika ditemu bual selepas perlumbaan berakhir.

Sementara itu, Qabil Irfan yang gagal menyembunyikan rasa kecewanya berkata, dia berjaya mendominasi dan mendahului sepanjang perlumbaan.

“Tetapi entah macam mana, saya kehilangan kedudukan itu, bukan rezeki saya lagi untuk muncul juara,” kata pelumba berusia 14 tahun tersebut.

Bagaimanapun, Qabil Irfan yang turut beraksi dalam Kejuaraan Moto4 Piala Eropah memberi jaminan dalam Perlumbaan 2 nanti, dia akan menebus kesilapannya dan cuba memburu tempat pertama. – UTUSAN

The post Qayyim unggul, Qabil ketiga Moto4 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved