
PETALING JAYA: Pemain ping pong lelaki negara, Wong Qi Shen menyasarkan pingat menerusi acara beregu pada penampilan sulungnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bermula pada 19 September ini.
Pemain berusia 23 tahun itu mengakui cabaran dalam acara perseorangan cukup getir berikutan kehadiran kuasa besar seperti China dan Jepun yang memiliki barisan pemain bertaraf dunia.
“Untuk perseorangan, banyak negara yang kuat seperti China dan Jepun. Jadi, saya sasarkan untuk beregu mungkin boleh dapat pingat, seperti gangsa,” katanya.
Qi Shen sebelum ini menggunakan dua kejohanan antarabangsa di Indonesia dan Filipina sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi temasya Aichi-Nagoya.
Penglibatannya dalam Grand Final Indonesia Ping Pong League, bulan lalu, dan kejohanan World Table Tennis (WTT) di Puerto Princesa, Filipina, baru-baru ini memberi peluang buat pemain itu mendapatkan semula rentak permainan serta menguji tahap kompetitifnya sebelum menghadapi cabaran lebih besar di Sukan Asia.
Pada temasya terbesar di Asia itu, Qi Shen dijadualkan beraksi dalam acara perseorangan dan beregu lelaki. – UTUSAN
The post Qi Shen sasar pingat acara beregu di Sukan Asia appeared first on Utusan Malaysia.






