Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun kembali berganding di Eropah

9 Sep 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun kembali berganding di Eropah

KUALA LUMPUR: Dua beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, kembali ke pasangan asal selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan misi memburu sekurang-kurangnya satu gelaran sebelum musim berakhir.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, keputusan mengekalkan kedua-dua gandingan senior itu sudah dimuktamadkan selepas mengambil kira pandangan pemain, jurulatih dan pihak pengurusan.

Kedua-dua pasangan itu bagaimanapun tidak akan beraksi pada Terbuka Arctic dari 6 hingga 11 Oktober kerana tempoh hanya seminggu selepas Sukan Asia dianggap tidak mencukupi untuk membuat persiapan.

“Selepas Sukan Asia, cuma ada satu minggu, saya rasa persiapan untuk ke Terbuka Arctic itu tidak cukup, tetapi bukan semua beregu kita menarik diri kerana Aaron Tai-Yap Roy King akan beraksi di sana,” katanya.

Herry berkata, Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun sebaliknya akan memulakan kempen Eropah menerusi Terbuka Denmark, diikuti Terbuka Perancis sebelum menutup saingan di Hylo.

Katanya, tiada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) khusus ditetapkan buat kedua-dua pasangan berkenaan, namun mereka perlu memberikan keputusan terbaik setiap kali turun bertanding.

“Daripada tiga kejohanan itu, sekurang-kurangnya saya harap ada yang menjadi juara sama ada di Denmark, Perancis atau Hylo untuk mengembalikan keyakinan mereka selepas beraksi di Kejohanan Dunia,” katanya.

Herry berkata, perancangan asal menyaksikan gandingan dipecahkan sehingga penghujung tahun sebelum penilaian semula dilakukan untuk menentukan pasangan bagi musim depan.

Bagaimanapun, keputusan mesyuarat bersama pemain, jurulatih dan pengurusan membawa kepada persetujuan supaya Aaron-Wooi Yik serta Wei Chong-Kai Wun kembali bergandingan, manakala pasangan lain masih melalui fasa percubaan.

“Yang kembali ke pasangan asal hanya Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun kerana mereka adalah pasangan senior yang mempunyai ranking dunia, manakala beregu lain masih kita cuba dan akan ada perubahan untuk Aaron Tai dan Roy King,” katanya. – UTUSAN

The post Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun kembali berganding di Eropah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved