haziq06/01/2026 - 18:12 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Jan – Penyedia produk dan perkhidmatan hiburan keluarga, Semico Capital Berhad, mencatatkan lebihan langganan sebanyak 28.09 kali bagi tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Dalam kenyataan hari ini, Semico Capital berkata, menerusi anak-anak syarikatnya, terlibat terutamanya dalam penyediaan produk dan perkhidmatan hiburan keluarga termasuk pembekalan mesin arked dan hiburan di pusat beli-belah The Mines, Selangor serta aktiviti pemborongan dan pengedaran mainan serta koleksi.
Menurut syarikat itu, dalam segmen hiburan keluarga, kumpulan merupakan pengedar sah eksklusif bagi Superwing dan Dreamfuns serta pengedar sah bagi beberapa jenama lain, dengan penawarannya digunakan di 77 kedai pelanggan di seluruh negara.
Bagi segmen mainan dan koleksi pula, kumpulan mengedarkan 68 jenama yang boleh didapati di 303 cawangan runcit di seluruh Malaysia merangkumi kedai mainan, kedai hobi, pawagam dan pusat hiburan keluarga.
IPO tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 92.7 juta saham biasa baharu pada harga terbitan RM0.25 sesaham, mewakili 25.7% daripada modal saham terbitan diperbesarkan, dengan hasil sebanyak RM23.2 juta dijangka diperoleh.
Selain itu, terdapat tawaran penjualan 18 juta saham sedia ada mewakili 5% daripada modal saham terbitan diperbesarkan, melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Menurut pemfailan, Semico Capital menerima sejumlah 4,053 permohonan bagi 523,694,800 saham terbitan bernilai kira-kira RM130.9 juta untuk 18.0 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, mewakili kadar terlebih langgan keseluruhan 28.09 kali.
Bagi pecahan permohonan, 1,637 permohonan diterima bagi 185,645,300 saham terbitan di bawah bahagian Bumiputera, mewakili kadar terlebih langgan 19.63 kali, manakala 2,416 permohonan bagi 338,049,500 saham terbitan diterima bagi bahagian awam lain, dengan kadar terlebih langgan 36.56 kali.
Sementara itu, 15 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak serta rakan perniagaan yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan telah dilanggan sepenuhnya.
Penempatan persendirian 59.7 juta saham terbitan dan 18 juta saham tawaran kepada pelabur terpilih juga telah ditempatkan sepenuhnya.
Menurut syarikat itu, Notis peruntukan akan diposkan kepada semua pemohon yang berjaya pada 12 Januari 2026.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Semico Capital, Tai Lee Chuen berkata, sambutan positif terhadap IPO tersebut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan dan potensi pertumbuhan kumpulan.
“Syarikat berasa amat teruja dengan sambutan positif terhadap IPO ini, yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan dan potensi pertumbuhan Semico Capital. Dengan pangkalan pelanggan, rangkaian pengedaran jenama serta rekod prestasi yang mantap, kami bersedia untuk melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil IPO akan digunakan bagi memperkukuh segmen hiburan keluarga serta mainan dan koleksi, sekali gus membolehkan kumpulan mengembangkan jejak operasi dan menambah baik penawaran dalam landskap hiburan keluarga di Malaysia.
“Syarikat yakin landskap hiburan keluarga menawarkan peluang pertumbuhan yang menarik, didorong oleh perubahan gaya hidup pengguna, peningkatan permintaan terhadap hiburan berasaskan pengalaman serta aktiviti berteraskan keluarga,” katanya.
Daripada hasil IPO berjumlah RM23.2 juta, kumpulan memperuntukkan RM8.5 juta (36.7%) bagi pembelian mesin arked dan hiburan baharu; RM2.1 juta (8.9%) untuk penggantian mesin sedia ada; RM2.5 juta (10.8%) bagi pembelian mainan dan koleksi; RM1.6 juta (6.9%) untuk pembayaran balik pinjaman bank; serta RM4.0 juta (17.3%) bagi tujuan modal kerja.
Baki RM4.5 juta (19.4%) pula akan digunakan bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.
Semico Capital dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada Selasa, 13 Januari 2026.
Selepas penyenaraian, kumpulan akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM90.0 juta berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 360.0 juta saham dan harga IPO RM0.25 sesaham.
Affin Hwang Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penjamin tunggal bagi IPO tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Semico Capital pada hari yang sama mengumumkan keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) bagi tempoh berakhir 30 September 2025.
Tiada angka perbandingan disediakan memandangkan ini merupakan keputusan interim pertama yang diumumkan selaras dengan keperluan penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Bagi suku dikaji, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM7.3 juta, dengan segmen hiburan keluarga menyumbang RM3.4 juta atau 46.8% manakala segmen mainan dan koleksi menyumbang RM3.9 juta atau 53.2% daripada jumlah hasil.
Dalam segmen hiburan keluarga, model perkongsian hasil kekal sebagai penyumbang utama dengan RM2.1 juta manakala baki RM1.3 juta diperoleh daripada model sewaan, jualan terus serta operasi dan pengurusan pusat hiburan keluarga.
Dari segi keuntungan, kumpulan mencatatkan keuntungan kasar RM3.2 juta dan keuntungan selepas cukai RM1.3 juta. - DagangNews.com
