liza07/01/2026 - 14:21 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Jan – Adnex Group Berhad, penyediaan perkhidmatan kerja dalaman (interior fit-out) memeterai perjanjian taja jamin dengan Public Investment Bank Berhad (PIVB) bagi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Melalui anak syarikat utamanya, Adnex Interior Solution Sdn Bhd, kumpulan itu mempunyai lebih 20 tahun pengalaman operasi dalam menyediakan perkhidmatan kerja dalaman untuk pejabat korporat, premis makanan dan minuman (F&B) serta galeri jualan, melibatkan pelanggan tempatan dan syarikat multinasional.
Adnex berkata IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 90.50 juta saham baharu biasa serta tawaran penjualan 39.50 juta saham sedia ada.
“Bagi terbitan awam, sebanyak 25 juta saham atau 5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala 15 juta saham atau 3% diagihkan kepada pengarah, pekerja dan individu layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
“Sebanyak 27.50 juta saham atau 5.5% diperuntukkan bagi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih manakala 23 juta saham atau 4.6% dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Bagi tawaran penjualan, sebanyak 39.50 juta saham sedia ada atau 7.9% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI,” kata Adnex dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah perjanjian taja jamin itu, PIVB akan menaja jamin sebanyak 40 juta saham, merangkumi saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia serta pengarah, pekerja dan individu layak kumpulan.
Pengarah Urusan Adnex Kan Wai Chun berkata perjanjian taja jamin tersebut merupakan satu lagi langkah penting ke arah penyenaraian syarikat, selain menyediakan asas kewangan untuk meningkatkan kapasiti operasi, mengembangkan perniagaan ke Malaysia Timur dan pasaran luar negara terpilih, serta melabur dalam teknologi dan peralatan bagi mengukuhkan daya saing Kumpulan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PIVB Lee Yo-Hunn berkata Adnex mempunyai asas perniagaan yang kukuh serta kepakaran operasi dalam sektor kerja dalaman, disokong oleh pasukan pengurusan berpengalaman dan portfolio projek yang terbukti, sekali gus berada pada kedudukan baik untuk merebut peluang pertumbuhan dalam landskap pembangunan komersial dan perindustrian negara.
Adnex telah memperoleh kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE pada 25 September 2025.
Penyenaraian itu dijangka mengukuhkan struktur modal kumpulan, meningkatkan kapasiti operasi dan menyokong penciptaan nilai jangka panjang yang mampan kepada pemegang saham. - DagangNews.com

