Rabel Dan Tyson Bantu Ops SAR Warga Emas Hilang Di Jempol

2 Jun 2026 • 3:44 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Rabel Dan Tyson Bantu Ops SAR Warga Emas Hilang Di Jempol

Rabel Dan Tyson Bantu Ops SAR Warga Emas Hilang Di Jempol

JEMPOL, 2 Jun (Bernama) -- Dua Unit Anjing Pengesan (K9) digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan kebun sawit di Palong, di sini sejak Ahad.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Norhisham Mustapar berkata operasi SAR diteruskan pada pagi ini dengan keluasan radius tiga kilometer dari lokasi penemuan motosikal yang ditinggalkan dalam kebun berkenaan.

"Operasi SAR pagi ini akan menggunakan unit anjing pengesan, iaitu Rabel dan Tyson bagi membantu mengesan warga emas itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baca juga:

Mangsa Abdullah Alias,78, berkulit cerah dan mempunyai ketinggian 160 sentimeter, dilaporkan hilang dengan pakaian terakhir baju kemeja-T warna kelabu dan bertopi merah.

Beliau berkata orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian 06-45762222.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki warga emas tidak pulang ke rumah selepas dipercayai keluar ke kebun itu pada Ahad, 5 petang.

Usaha mencari dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Palong, tiga anggota polis dan lapan orang awam ke lokasi kejadian.