Pada Ogos lalu, seorang lelaki berusia 31 tahun berada di sekitar Pasar Tani Kekal Changlun, Kedah.
Menurut laporan media berdasarkan keterangan peniaga di kawasan tersebut, isterinya berniaga sayur di situ dan beliau singgah untuk menghantar barang sebelum meneruskan perjalanan ke tempat kerja.
Ketika itu terdapat seekor anjing terbiar berhampiran kawasan tersebut.
Mangsa dikatakan membeli roti untuk diberikan kepada anjing berkenaan.
Namun ketika menghampirinya, anjing tersebut menggigit tangannya sehingga berdarah.
Selepas kejadian, mangsa mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.
Apa yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah ialah beliau mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos 2026 dan telah mendapatkan rawatan selepas kejadian itu, namun TIDAK menerima profilaksis pascapendedahan rabies atau Post-Exposure Prophylaxis (PEP).
.
Beberapa minggu kemudian, pada 18 September, beliau mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada anggota atas kanan.
Menjelang 22 September, muncul kesukaran menelan, hydrophobia, aerophobia, keresahan serta perubahan tingkah laku.
Beliau mendapatkan rawatan semula pada 23 September sebelum dirujuk dan dimasukkan ke ICU.
Sampel klinikal diambil pada 24 September dan pada 26 September, ujjian makmal mengesahkan jangkitan rabies.
Pada 27 September 2026, beliau meninggal dunia.
Ini merupakan kes rabies manusia pertama yang dilaporkan di Kedah sejak tahun 1998.
.
Sehingga Ogos 2026, sebanyak 502 kejadian gigitan dan cakaran haiwan telah dilaporkan di Kedah.
Daripada jumlah tersebut, 65.3% melibatkan anjing, 23.1% kucing dan 11.6% haiwan lain.
Satu lagi fakta yang penting: 56.2% daripada kejadian tersebut melibatkan haiwan peliharaan, manakala 43.8% melibatkan haiwan terbiar. Angka ini ialah laporan gigitan dan cakaran bukan bermaksud kesemua haiwan tersebut mempunyai rabies.
Ini penting kerana risiko rabies tidak boleh dinilai hanya dengan melihat sama ada haiwan itu “anjing liar” atau “anjing bela”.
.
KUBANG PASU SEBENARNYA BERADA DALAM “IMMUNE BELT”
Ada satu konteks kesihatan awam yang mungkin ramai tidak tahu.
Sejak 1955, Malaysia mempunyai kawasan kawalan rabies yang dikenali sebagai “immune belt” zon kira-kira 50 hingga 80 kilometer dari sempadan Thailand yang diberi perhatian khusus bagi pencegahan rabies.
Di Kedah, kawasan immune belt merangkumi Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Sik, Baling, Kota Setar, Pendang dan Langkawi.
Dalam kawasan ini, kawalan veterinar termasuk pemvaksinan rabies terhadap anjing bertuan, pelesenan serta langkah kawalan lain terhadap populasi anjing.
Maknanya, kejadian di Kubang Pasu ini bukan berlaku di kawasan yang tidak pernah mempunyai perhatian terhadap risiko rabies.
Sebaliknya, Kubang Pasu memang merupakan antara kawasan yang secara sejarah diberi perhatian khusus kerana kedudukannya berhampiran sempadan antarabangsa.
“Immune belt” bagaimanapun bukan bermaksud kawasan itu kebal daripada rabies.
Ia adalah lapisan perlindungan dengan matlamat mengurangkan populasi haiwan yang mudah dijangkiti dan mengurangkan risiko virus menular melalui populasi anjing.
.
APA YANG SEDANG DILAKUKAN?
Susulan kes ini, JKN Kedah bersama PKD Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah dan agensi berkaitan telah memperkukuh pengesanan kes, survelan gigitan haiwan, pendidikan kesihatan, penilaian risiko serta kawalan haiwan terbiar di kawasan terlibat.
Siasatan epidemiologi juga sedang dilakukan untuk mengenal pasti sumber jangkitan dan laluan pendedahan dengan lebih tepat.
JPV Kedah turut memaklumkan bahawa kawalan populasi anjing liar sedang dijalankan bersama PBT dalam radius sekitar 10 kilometer di kawasan terjejas.
.
APA YANG ORANG RAMAI PERLU BUAT?
Kalau digigit atau dicakar anjing, kucing atau mamalia lain yang berisiko, jangan tunggu untuk melihat sama ada haiwan itu “nampak gila” atau tidak.
Cuci luka segera menggunakan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit.
Kemudian dapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan dengan segera untuk penilaian risiko rabies dan keperluan PEP.
Untuk pendedahan tertentu, PEP boleh melibatkan vaksin rabies dan rabies immunoglobulin/monoclonal antibody bergantung kepada kategori pendedahan.
Jangan anggap antibiotik atau suntikan tetanus sebagai pengganti vaksin rabies. Ia adalah rawatan yang berbeza.
.
Dan jika ternampak haiwan yang sakit atau menunjukkan tingkah laku luar biasa, jangan cuba menangkap, memukul atau membunuhnya sendiri.
Laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau PBT untuk tindakan selamat.
.
Kes Kedah ini masih dalam siasatan.
Kita belum mempunyai semua jawapan.
Tetapi satu pengajaran sudah cukup jelas:
Dalam rabies, masa selepas gigitan adalah sangat penting.
Jangan tunggu luka menjadi teruk.
Jangan tunggu haiwan mati.
Dan jangan tunggu simptom rabies muncul.
Kerana PEP diberikan untuk mencegah penyakit sebelum virus sampai ke sistem saraf pusat. Apabila gejala klinikal rabies sudah muncul, penyakit ini hampir sentiasa membawa maut.
Rujukan:
[1] Utusan Malaysia, 28 Sept 2026
[2] JKN Kedah, Kenyataan Media Kes Rabies, 27 Sept 2026
[3] Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia – Rabies & Immune Belt
[4] World Health Organization – Rabies & Post-Exposure Prophylaxis
Public Health M'sia (publichealthmalaysia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.





