
MELAKA – Seorang lelaki didakwa dalam keadaan berbogel dicekup penduduk kampung selepas dikatakan cuba melarikan dua kanak-kanak berusia 10 dan dua tahun dalam dua kejadian berasingan di sekitar Ayer Molek, di sini, malam tadi.
Menurut sumber, kejadian pertama berlaku ketika saksi yang juga pengadu mahu mengunci pintu rumah, manakala anak lelakinya berusia 10 tahun sedang menunggu di dalam kereta sebelum dia ternampak kelibat suspek menghampiri kenderaan tersebut.
“Pengadu pada mulanya menyangka suspek cuba melarikan kenderaan berkenaan dan telah menjerit menyuruh anak lelakinya yang berada di dalam kereta untuk keluar, manakala dia terus bergegas menghalang tindakan suspek.
“Lelaki itu yang dalam keadaan berbogel bagaimanapun berjaya melarikan diri. Pengadu yang gusar dengan kejadian tersebut cuba menjejaki suspek dan dalam jarak kira-kira 150 meter dia melihat lelaki tersebut telahpun dikepung penduduk kampung,” katanya.
Ujarnya, dalam kejadian kedua, suspek dikatakan cuba melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ketika mangsa sedang dibawa oleh ibu dan bapanya menunggang motosikal.
“Suspek dikatakan awalnya cuba merampas telefon bimbit milik ibu kepada kanak-kanak tersebut, namun mangsa berjaya mengelak.
“Lelaki itu bagaimanapun secara tiba-tiba mengambil kanak-kanak berkenaan dan kejadian itu disedari oleh penduduk kampung yang berada berhampiran,” katanya.
Tambahnya, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan, manakala suspek telah dicekup dan diikat oleh penduduk kampung untuk diserahkan kepada pihak polis.
Beberapa klip video berkaitan kejadian turut tular di media sosial memaparkan keadaan suspek dalam keadaan kedua-dua tangannya diikat sebelum dibawa menaiki kenderaan polis di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut sumber berkata, sebelum dua kejadian tersebut, suspek turut dikatakan telah mencederakan seorang warga emas menggunakan botol kaca dalam satu kejadian di Kandang sebelum dia menuju ke kawasan sekitar Ayer Molek.
Katanya, suspek akan direman dalam prosiding di Hospital Melaka susulan mengalami kecederaan parah pada bahagian muka.
Sementara itu, pihak polis ketika dihubungi memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian tersebut dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki berbogel dicekup orang kampung didakwa cuba larikan dua budak appeared first on Kosmo Online.






