Radzi Jidin, Peja Dilantik Timbalan Presiden BERSATU

LocalPolitics
14 Feb 2026 • 3:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Dua Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Timbalan Presiden parti, berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat semalam.

Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang diadakan hari ini sepakat bahawa kedua-dua individu berkenaan mampu membantunya mengemudikan parti dengan cemerlang.

Katanya, beliau sebagai presiden dan pengasas parti bertanggungjawab untuk memastikan BERSATU terus kukuh dan berada di atas landasan perjuangannya yang sebenar.

“Saya dan ramai lagi yang terlibat dalam perjuangan parti BERSATU sejak dari awal tidak rela melihat parti ini dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Selama bertahun-tahun saya mengambil sikap yang berhemah dalam menghadapi pelbagai bentuk sabotaj dalaman serta tekanan demi tekanan dari dalam parti sendiri,” katanya.

image is not available
Muhyiddin Yassin - Gambar fail

Jelas Muhyiddin, beliau bagaimanapun tetap bersangka baik malah turut melantik individu yang diketahui menentangnya dalam diam untuk memegang jawatan penting parti.

“Saya bersangka baik demi satu tujuan iaitu untuk memastikan parti BERSATU bersatu-padu, kukuh dan dapat menjayakan tujuan dan matlamat perjuangan parti yang murni.

“Malangnya usaha saya ini telah tidak dihargai oleh mereka. Malah, tindakan-tindakan yang bercanggah dengan perlembagan parti dan disiplin parti dilakukan secara berterusan,” katanya.

Tegas Ahli Parlimen Pagoh itu, tindakan disiplin adalah sebahagian daripada mekanisme yang ada di dalam perlembagaan parti untuk memastikan parti terus stabil dan kukuh.

“la bukanlah suatu tindakan yang diambil secara sewenang-wenangnya terutamanya apabila melibatkan pemimpin kanan parti.

“Sebelum tindakan disiplin diambil, usaha-usaha telah dilakukan untuk mencari titik perdamaian dan menyelamatkan parti menerusi siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat, namun usaha ini tidak berhasil,” katanya.

Perbuatan seumpama itu jelas beliau lagi, akan merosakkan parti jika dibiarkan sekali gus mengecewakan ahli yang setia dengan perjuangan.

“Oleh itu, saya dan rakan-rakan dalam barisan kepimpinan BERSATU bertekad bahawa sudah sampai masanya proses disiplin parti yang termaktub di dalam perlembagaan BERSATU hendaklah diambil untuk menyelamatkan parti.

“Ini adalah satu tindakan yang perlu diambil dan merupakan pilihan yang terbaik pada masa ini dalam usaha untuk memulihkan perpaduan parti dan menyelamatkan parti,” katanya. 

Selain Hamzah, Lembaga Disiplin BERSATU yang bersidang kelmarin turut memecat Ahli MPT yang juga Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan. - Getaran, 14 Februari 2026