
PUCHONG: Kertas siasatan berhubung pemilikan saham melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu didedahkan segera.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Rafizi Ramli berkata, pendedahan itu penting bagi mempertahankan kredibiliti SPRM susulan tindakan agensi berkenaan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan SPRM dalam membanteras rasuah, namun pada masa sama kredibiliti agensi penguatkuasaan itu perlu dipelihara supaya tindakan yang diambil tidak dilihat sebagai penguatkuasaan bermotifkan politik.
“Kita alu-alukan tindakan itu, tetapi kredibiliti SPRM sangat penting untuk dipertahankan supaya tindakan dalam tempoh dua minggu ini tidak dilihat sebagai weaponised enforcement agency terhadap seteru politik atau sebagai pertuduhan terpilih.
“Bukan soal siapa yang kena atau siapa yang disiasat. Ini adalah tanggungjawab kami sebagai parti politik untuk mempertahankan institusi SPRM dan kredibilitinya,” katanya semasa sidang akhbar di ibu pejabat Bersama di Putra Perdana, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan susulan SPRM terhadap beberapa pemimpin UMNO termasuk siasatan yang dijalankan terhadap bekas Menteri dan Timbalan Menteri terkait isu laporan pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji.
Untuk rekod, dua kertas siasatan berhubung aduan terhadap Azam Baki, telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Jun lalu.
Mohamad Rafizi berkata, kebimbangannya adalah apabila usaha SPRM membanteras rasuah dicemari dakwaan bahawa tindakan berkenaan bermotifkan politik.
Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara, termasuk dalam kes yang membabitkan kepentingan awam.
“Sangat malang apabila ada kes seperti RCI Tabung Haji, tetapi rakyat tidak percaya. Ini kerana ketika ini berlaku pertelingkahan antara PH dan BN.
“Pemerhatian saya, kalau usaha SPRM membanteras rasuah terus dicampuradukkan dengan tuduhan bermotifkan politik, akhirnya rakyat akan hilang kepercayaan terhadap institusi itu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Anwar mengambil kesempatan ketika ini untuk mendedahkan kertas siasatan berkenaan yang sebelum ini dikatakan akan didedahkan.
“Saya cadangkan Anwar arahkan KSU dedahkan segera kertas siasatan skandal pemilikan saham Azam Baki kerana Anwar pernah memberi gambaran bahawa ia akan didedahkan dalam masa beberapa hari.
“Tetapi sekarang sudah hampir enam bulan. Ini masa yang baik untuk Anwar dedahkan kertas siasatan itu dan saya percaya Anwar juga boleh mendapat political mileage daripada tindakan tersebut,” katanya.
Mohamad Rafizi berkata, Anwar sebelum ini menjelaskan bahawa isu berkenaan bukan kes jenayah, sebaliknya melibatkan disciplinary enquiry, menyebabkan ia tidak disiasat oleh agensi penguatkuasaan.
“Azam Baki pun sudah bersara. Dalam suasana sekarang, kalau Anwar mengambil tindakan untuk mendedahkan siasatan itu, ia boleh memadamkan serangan bahawa siasatan terhadap RCI Tabung Haji bermotifkan politik. Baru betul reformasi,” katanya.
Beliau pada masa sama berharap pemimpin UMNO dan DAP yang berada dalam Kabinet dapat memainkan peranan dengan membawa perkara tersebut untuk dibincangkan di peringkat Kabinet.
“Saya harap pemimpin UMNO dan DAP dalam Kabinet dapat berhujah supaya Kabinet dapat mendedahkan laporan kertas siasatan berkenaan.
“Ini bukan soal siapa yang akan terkena. Yang penting ialah kita mahu memastikan institusi penguatkuasaan seperti SPRM terus mempunyai kredibiliti dan kepercayaan rakyat,” katanya. – UTUSAN
The post Rafizi desak dedahkan kertas siasatan Azam Baki appeared first on Utusan Malaysia.



_-_AZIM_RAHMAN_3.jpg)


