
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata siasatan khas berskala besar dikenali sebagai OPS FELLA itu memfokuskan transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA serta FIC antara 2010 hingga 2020.
Daripada tujuh kertas siasatan tersebut, enam kertas baharu dibuka pada 24 Ogos lalu, manakala satu lagi merupakan kes lama yang masih aktif dan sedang melalui proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Enam siasatan baharu itu melibatkan dakwaan pembelian dan pelaburan aset pada harga melebihi nilai sebenar, yang dipercayai menyebabkan kerugian kepada FELDA.
Hotel, Hartanah Antara Disiasat
Antara perkara yang sedang disiasat ialah pelaburan Tataran Aras Sdn Bhd di Limbang, Sarawak, pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Service Apartments di London.
SPRM turut meneliti penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House, serta dakwaan penyelewengan dalam pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Satu lagi kertas siasatan lama membabitkan hartanah Park City Grand Plaza turut diteliti semula secara selari.
12 Individu Dipanggil SPRM
Setakat ini, SPRM sudah memanggil 12 individu bagi membantu siasatan dan merakamkan keterangan.
Mereka terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah FIC, setiausaha FIC, pegawai bahagian perundangan FIC, jurunilai, individu daripada firma guaman serta pegawai kerajaan berkaitan tanah dan penilaian hartanah.
SPRM turut menjangkakan beberapa tangkapan dilakukan dalam masa terdekat secara berperingkat.
Bagaimanapun, nilai keseluruhan rasuah masih belum dikenal pasti kerana siasatan masih berada pada peringkat awal.
Isu Anak Benih Sawit Turut Dilaporkan
Dalam perkembangan sama, SPRM turut menerima maklumat mengenai kebimbangan terhadap kualiti anak benih sawit dan pelaksanaan program tanam semula di Felda Palong 7, Negeri Sembilan.
Program itu membabitkan manfaat kira-kira 450 peneroka.
SPRM juga menggesa pihak pengurusan FELDA melantik firma audit forensik sendiri bagi membantu mengenal pasti sebarang kelemahan atau ketirisan dalam pengurusan.
SPRM Minta Elak Spekulasi
SPRM meminta semua pihak memberi ruang kepada penyiasat menjalankan siasatan secara profesional dan mengikut prinsip undang-undang.
Sebarang spekulasi atau andaian yang boleh menjejaskan proses siasatan perlu dielakkan supaya hak dan kepentingan negara serta individu yang terlibat terus terpelihara.
HUSTLE24HOUR kini dibuka!
Mulakan perjalanan anda untuk memahami fundamental, sentimen pasaran dan teknik Moshed Magic Line bersama Tuan Moshed serta komuniti HUSTLE24HOUR.
👉 Daftar sekarang di HUSTLE24HOUR.COM
HUSTLE24HOUR ialah program pendidikan dan bukan khidmat nasihat kewangan atau jaminan keuntungan. Perdagangan instrumen kewangan melibatkan risiko yang tinggi.






