Isu FELDA Dan FIC, SPRM Buka 7 Kertas Siasatan

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 2:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Isu FELDA Dan FIC, SPRM Buka 7 Kertas Siasatan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan khas berskala besar yang dikenali sebagai Op FELLA itu memberi tumpuan kepada urus niaga pelaburan dan pemerolehan aset yang dibuat oleh pihak pengurusan FELDA dan FIC sepanjang tempoh 10 tahun, dari 2010 hingga 2020.

Menurut beliau, enam daripadanya merupakan kertas siasatan baharu yang dibuka 24 Ogos lalu, manakala satu lagi ialah kertas siasatan lama yang masih aktif dan kini melalui proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

“Enam kertas siasatan baharu yang dibuka membabitkan isu pembelian dan pelaburan dalam aset pada harga yang melebihi nilai sebenar, yang dipercayai mengakibatkan kerugian kepada FELDA secara keseluruhannya,” katanya pada sidang media hari ini.

Abd Halim berkata, antara perkara yang disiasat termasuk pelaburan membabitkan Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd di Limbang, Sarawak; pemerolehan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Service Apartments di London.

“Siasatan turut memberi tumpuan kepada penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pemerolehan Felda House dan Grand Felda House, selain dakwaan ketidakaturan dalam pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

“Satu lagi kertas siasatan lama yang masih belum ditutup dan kini melalui proses MLA, membabitkan hartanah Park City Grand Plaza, turut diteliti semula secara serentak. Ini menjadikan keseluruhan kes yang sedang diteliti SPRM melibatkan tujuh kertas siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, SPRM telah memanggil 12 individu bagi membantu siasatan dan merakam keterangan.

Mereka terdiri daripada tiga anggota Lembaga Pengarah FIC, seorang setiausaha FIC, dua pegawai Bahagian Undang-Undang FIC, seorang jurunilai, tiga individu daripada sebuah firma guaman, seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur serta seorang pegawai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kuala Lumpur.

Abd Halim berkata, beberapa tangkapan dijangka dibuat dalam masa terdekat secara berperingkat.

“Tidak dapat dinafikan bahawa beberapa tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat dan ia dijangka bermula seawal minggu depan.

“Jumlah keseluruhan nilai rasuah masih dalam proses dikenal pasti kerana siasatan ketika ini masih berada pada peringkat awal,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata SPRM turut menerima maklumat berkaitan kualiti anak benih kelapa sawit serta pelaksanaan program penanaman semula di Felda Palong 7, Negeri Sembilan, yang membabitkan kira-kira 450 peneroka.

Katanya, tindakan susulan itu dibuat selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya setiap kelemahan dan ketirisan dalam pengurusan FELDA ditangani secara menyeluruh.

“Pengurusan FELDA juga wajar melantik firma audit forensik mereka sendiri. FELDA mempunyai peruntukan dan kuasa untuk berbuat demikian, dan langkah itu boleh membantu kita dalam menjalankan siasatan,” katanya. - Getaran, 2 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved