Rafizi dipanggil beri keterangan di Bukit Aman esok isu mafia korporat

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 8:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rafizi dipanggil beri keterangan di Bukit Aman esok isu mafia korporat
Datuk Seri Rafizi Ramli

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan beliau mendapat notis dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bagi menghadirkan diri untuk disiasat berhubung dakwaan mafia korporat dan pembayaran RM9.5 juta yang dikaitkan dengan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Ramanan.

Rafizi mendakwa, kerajaan yang diterajui PKR dan Pakatan Harapan (PH) itu menggunakan Seksyen 500 dan Seksyen 505 di bawah Kanun Keseksaan untuk menakutkan beliau setiap kali beliau bersuara mengenai mafia korporat dan tuduhan terhadap Ramanan.

Menurutnya, Ramanan sepatutnya mengambil tindakan sama jika benar-benar mahu membersihkan namanya daripada tuduhan telah mengambil rasuah bernilai RM9.5 juta untuk menyelesaikan kes mafia korporat.

"Saya telah mendapat notis dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman untuk menghadirkan diri untuk disiasat di bawah Seksyen 500 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan pada hari esok, jam 10 pagi.

"Seksyen 500 adalah bersabit tuduhan fitnah jenayah (criminal defamation), sementara Seksyen 505 bersabit tuduhan ucapan yang menimbulkan huru hara dan menggugat ketenteraman awam.

"PDRM membuka siasatan ekoran satu laporan polis yang dibuat bertarikh 22 Oktober 2026 bernombor PANTAI/014638/26," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Laporan itu dibuat berikutan ceramah Rafizi di Selayang bertarikh 20 Oktober 2026.

Dalam ceramah itu, selain dari mengulas mengenai mafia korporat, dakwaan Ramanan menerima rasuah RM9.5 juta untuk menyelesaikan kes mafia korporat, Rafizi juga menyentuh mengenai peristiwa bekas Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dihadapkan ke mahkamah.

Tambah Rafizi, beliau akan kembali ke Kuala Lumpur dan membatalkan acara kempen di Melaka pada Selasa untuk hadir memberi keterangan.

Jelasnya, perkara yang dilalui kini tidak ubah seperti siasatan-siasatan dan dakwaan mahkamah terhadapnya semasa mendedahkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji, Felda dan National Feedlot Corporation (NFC).

"Saya juga pernah disiasat di bawah Seksyen 500 dan Seksyen 505 dalam kes 1MDB dan Tabung Haji. Malah, saya pernah disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dituduh menghina UMNO suatu ketika dahulu.

"Mahkamah membebaskan saya dalam semua kes tersebut. Skandal-skandal 1MDB, Tabung Haji dan Felda dibuktikan benar dan telah menjadi modal politik yang membantu PKR dan PH sejak sedekad yang lalu.

"Saya percaya masa akan menunjukkan bahawa kami dari Bersama telah melaksanakan tanggung jawab membantu masyarakat membanteras mafia korporat tatkala parti-parti lain membisu, walaupun terpaksa berdepan dengan tekanan undang-undang seperti ini," ujarnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved