
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus mencatat pencapaian dalam industri muzik apabila menerima dua pengiktirafan serantau menerusi ASEAN Records dan Asia Records, hari ini.
Pengiktirafan itu diberikan susulan kejayaan dua konsert berskala mega, Legacy 30 dan Gema Bumantara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, diiktiraf menerusi kategori Jumlah Penonton Terkumpul Terbesar bagi Dua Konsert Stadium Solo oleh Artis Rakaman Berbahasa Melayu.
Kejayaan berkenaan diraih selepas kedua-dua konsert itu berjaya menarik kehadiran keseluruhan 145,000 penonton dalam tempoh 10 bulan.
Konsert Legacy 30 berlangsung pada 10 Januari lalu, manakala Gema Bumantara pula diadakan pada 17 Oktober lalu.
Kedua-dua pengiktirafan berkenaan disampaikan oleh Penasihat Rekod ASEAN dan Asia, Tan Sri Prof Abdul Latiff Abu Bakar pada Malam Apresiasi bagi meraikan kejayaan penganjuran dua konsert berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Siti turut menjadi perhatian ramai menerusi persembahannya pada upacara pembukaan perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Baca juga:Beliau menyampaikan lagu Negaraku pada acara berkenaan, sekali gus mencuri perhatian penonton.






